Perairan Perak selamat, hasil laut tidak terjejas air pasang merah

Mohd Ghazali (kiri) bersama Mohammad Khalid dalam sidang akhbar pada Selasa.
Mohd Ghazali (kiri) bersama Mohammad Khalid dalam sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

TAIPING - Fenomena air pasang merah yang terjadi di perairan Teluk Bahang, Bayan Lepas minggu lalu tidak menjejaskan hasil laut di kawasan perairan Perak.

Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap berkata, pemantauan rapi dilakukan secara berkala mendapati keadaan kualiti air di negeri ini berada dalam keadaan selamat.

"Keadaan itu (air pasang merah) memang boleh berlaku di tempat lain sekiranya berlaku peningkatan suhu dan air berada dalam kesuburan tinggi.

"Jadi apa yang kita lakukan adalah langkah pemantauan kualiti air bagi memastikan kita dapat amaran sebelum sampai ke tempat (perairan) kita," katanya dalam sidang akhbar sempena program Kesedaran Pematuhan Pensijilan MyGAP dan Taklimat Penggunaan Sistem eKanMas peringkat negeri di sini pada Selasa.

Program berkenaan dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan turut dihadiri Ketua Cawangan Standard Perkhidmatan Makmal, Bahagian Biosekuriti Perikanan Malaysia, Roslan Abu Hasan.

Sebahagian peserta yang mengikuti program Kesedaran Pematuhan Pensijilan MyGAP dan Taklimat Penggunaan Sistem eKanMas peringkat negeri Perak di Taiping pada Selasa.
Sebahagian peserta yang mengikuti program Kesedaran Pematuhan Pensijilan MyGAP dan Taklimat Penggunaan Sistem eKanMas peringkat negeri Perak di Taiping pada Selasa.

Mohd Ghazali berkata, fenomena air merah yang berlaku disebabkan ledakan alga spesis Noctiluca Scintillans tersebut telah disahkan tidak berbahaya kepada manusia.

Malah katanya, ikan-ikan juga masih selamat untuk dimakan kerana tidak mengandungi toksin yang boleh menyebabkan keracunan.

Artikel Berkaitan:

"Ikan selamat dimakan, tetapi kalau kerang-kerangan itu berbahaya kerana kita makan isi dalam secara keseluruhannya yang mungkin telah tercemar," katanya.

Berdasarkan rekod, Noctiluca Scintillans pernah menyebabkan ledakan sehingga air laut menjadi merah jambu dan ikan dalam sangkar mati di perairan Kuala Gula, Parit Buntar pada 2016.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa nelayan sekitar kawasan Teluk Bahang sehingga ke Sungai Pinang, Balik Pulau menyuarakan rasa bimbang dengan fenomena air merah itu yang didakwa berlaku sejak 26 Ogos.

Fenomena itu telah menyebabkan ikan dan hidupan laut lain mati iaitu bermula kira-kira satu kilometer dari kawasan Muka Head sehingga ke kawasan pesisir pantai dekat Teluk Bahang.

Sementara itu, dalam program berkenaan sebanyak 10,000 ekor benih ikan baung dilepaskan di Sungai Burmese dekat sini dalam usaha memulihara dan menangani kepupusan sumber perikanan negeri.

Mohammad Khalid dalam ucapannya berkata, tahun lepas, sebanyak 4 juta benih ikan telah dilepaskan dan direkodkan di dalam The Malaysia Books of Record bagi Pelepasan Benih Ikan Terbanyak tahun 2022.

"Tahun ini, Jabatan Perikanan Perak memperuntukkan RM30,000, manakala kerajaan negeri meluluskan RM300,000 untuk program pelepasan benih ikan di seluruh negeri.

"Langkah ini antara lain bagi memastikan hasil akuakultur terus meningkat dan menyokong kepada keterjaminan makanan," katanya.