Isu tapak lupus sampah haram di Kapar ambil masa untuk selesai - MB

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu tapak pelupusan sampah secara haram di Batu 14, Kapar, Klang yang menimbulkan rungutan penduduk mengambil masa untuk diselesaikan kerana sebahagiannya melibatkan tanah hakmilik persendirian.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, pihak berkuasa tempatan sedang mengambil tindakan untuk menyelesaikannya dan proses untuk tindakan lanjut diuruskan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Proses aduan dan gesaan kepada pemilik tanah perlu dilakukan, kena bagi masa kepada mereka untuk pulihkan tanah, kalau benda itu tidak dibuat, kita (terus) rampas kemungkinan kita kalah saman kerana kita pernah kalah kes seperti itu.

"Mereka (pemilik) perlu di berikan masa untuk memulihkan tanah dan saya percaya pihak Pejabat Tanah dan Daerah serta MPK telah memberikan notis-notis tertentu supaya mereka memulihkan tanah.

"Jika sampai satu tempoh tertentu mereka gagal dan kerajaan negeri akan melakukan proses seterusnya iaitu pengambilan tanah dan bila pengambilan dibuat baru kita boleh pulihkan (semula) kawasan tersebut," katanya.

Menteri Besar ditemui pemberita pada selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penjenamaan Identiti Korporat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Rahana Abdullah.

Pada 3 Disember lalu, penduduk di tujuh kampung dilaporkan menderita bau busuk dan asap kesan daripada pelupusan sampah secara haram di Batu 14, Kapar di sini sejak tiga tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Badan Bertindak Kapar, Rahim Iska dilaporkan berkata, tujuh kampung terjejas itu ialah di Kampung Sungai Serdang, Jalan Suara, Tambak Jawa, Kampung Batu 12, Kampung Tok Muda, Kampung Bukit Kerayong dan Kampung Bukit Kapar.

Menurut beliau, masalah itu timbul selepas ada pihak tidak bertanggungjawab melupuskan sampah secara haram di kawasan berhampiran seluas kira-kira lebih 1.2 hektar.

Wakil penduduk itu turut berkata, kegiatan membuang pelbagai sisa domestik, termasuklah sisa bahan binaan dan makanan di kawasan itu menyebabkan bau busuk kepada penduduk yang tinggal berhampiran.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut memaklumkan kerajaan negeri akan membawa isu tapak pelupusan sampah haram itu ke dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).