Kematian Zayn Rayyan: Beri ruang polis siasat, elak buat andaian

Mohamad Fakhrudin
Mohamad Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Polis meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan seorang kanak-kanak autisme yang ditemui meninggal dunia berdekatan anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) setakat ini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan buat masa ini pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat ke atas kanak-kanak berkenaan.

"Kes kematian kanak-kanak ini masih diklasifikasikan sebagai SDR sehingga selesai prosedur bedah siasat serta setelah keputusan mangsa dapat dikenal pasti.

"Beri ruang secukupnya kepada pihak polis untuk jalankan siasatan, jangan timbulkan sebarang spekulasi berhubung kejadian ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, pihaknya sebelum ini telah merakam keterangan beberapa individu termasuk ibu bapa mangsa.

"Terdapat individu yang telah kita ambil keterangan sebelum ini, dan siasatan masih dijalankan," katanya.

Pada Rabu, mangsa berumur enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Artikel Berkaitan:

Zayn Rayan ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya malam tadi.
Zayn Rayan ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya malam tadi.

Mangsa, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya di tengah hari Selasa lalu sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya pada malam Rabu.