Polis akan ambil keterangan ibu bapa, jiran Zayn Rayyan

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Fakhrudin )
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Fakhrudin )
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan mengambil keterangan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak autisme itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis juga akan merakam keterangan jiran dan saksi dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan.

"Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kematian kanak-kanak ini sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bedah siasat ke atas kanak-kanak berusia enam tahun itu dijalankan pada jam 9.30 pagi tadi di Hospital Sungai Buloh.

Difahamkan jenazah Zayn Rayyan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara hari ini.

Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang sejak tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya pada jam 10 malam semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan: