'Zayn Rayyan tolak neneknya, sebab mahu tidur dengan saya'

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Zahari Mohd Reba)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Zahari Mohd Reba)
A
A
A

SUNGAI BULOH - Pemergian Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, memberi kesan cukup mendalam buat datuknya, Zahari Mohd Reba, 55, yang cukup rapat dengan Allahyarham.

Ujar Zahari, sebelum cucunya itu dilaporkan hilang, sudah menjadi kebiasaan arwah akan datang ke rumah dengan ditemani anak dan menantunya pada hari cuti umum setiap minggu.

"Setiap minggu arwah datang dan kami bawa dia pergi bercuti, bawa arwah mandi (ke pusat peranginan) sebab arwah suka (bermain air)," katanya ditemui Sinar Harian di Hospital Sungai Buloh di sini pada Khamis.

Zahari berkata, pada waktu malamnya pula, arwah cucu sulungnya itu hanya mahu tidur bersama dengannya malah 'cemburu' terhadap isterinya yang berada berdekatan.

"Biasanya apabila hendak tidur dia akan tidur di sebelah saya, kalau (kebetulan) isteri saya ada di sebelah dia akan tolak (isteri) sebab mahu tidur dekat dengan datuknya," katanya.

Terdahulu Zayn Rayyan disedari hilang sejak 12.30 tengah hari pada Selasa, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan membuat laporan polis.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid dilaporkan berkata, mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemui di kawasan sungai kira-kira jam 10 malam.

Artikel Berkaitan:

Wartawan dan jurugambar yang berada di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh sejak pagi untuk mengikuti perkembangan terkini pada Khamis
Wartawan dan jurugambar yang berada di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh sejak pagi untuk mengikuti perkembangan terkini pada Khamis

Menurutnya, sungai itu berjarak kira-kira 100 meter dari kawasan rumah Zayn Rayyan di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Penemuan kanak-kanak berkenaan sejurus Op Tutup rumah ke rumah yang digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bermula jam 9 malam.

Dalam pada itu, Zahari yang juga merupakan pengurus di sebuah kilang automotif di Petaling Jaya turut menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk membuat siasatan lebih lanjut.

"Saya tidak mahu mendahului pihak polis kerana ia (perbuatan itu) adalah salah dan kami menyerahkan kepada pihak polis," katanya.

Beliau bagaimanapun kesal dengan sikap netizen di media sosial yang hanya menyalahkan ahli keluarga Allahyarham dengan pelbagai tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas.

"Ada netizen mengganggap keluarga arwah tidak tahu menjaga anak namun mereka (netizen) tidak tahu situasi dan perkara sebenar yang berlaku, kami agak kesal termasuk jika ada laporan media yang tidak tepat," katanya.

Tambahnya, jenazah Zayn Rayyan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara pada Khamis.