UEM Edgenta amal sifar toleransi terhadap rasuah

Faizatul Farhah - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN
Faizatul Farhah - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - UEM Edgenta Berhad menyasarkan sifar toleransi rasuah bagi memastikan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersih daripada rasuah dan segala bentuk salah guna kuasa.

Ketua Jabatan Risiko, Integriti dan Pematuhannya, Faizatul Farhah Ghazali berkata, amalan dan budaya rasuah bukan sahaja mencalarkan imej, tetapi juga menghakis kepercayaan rakyat terhadap organisasi tersebut.

Menurutnya, bagi membendung perbuatan itu, ia memerlukan pelbagai usaha dan pelan tindakan yang lebih agresif daripada pihak majikan, jawatankuasa tertinggi serta ahli lembaga pengarah.

“Di UEM kita mengamalkan sifar toleransi terhadap rasuah dan pihak pengurusan juga turut bekerjasama dalam memastikan risiko rasuah dapat dielakkan.

“Setiap urusan transaksi perniagaan perlu dilakukan dengan jujur bagi memastikan ketelusan dan integriti menjadi keutamaan.

“Perniagaan yang dijalankan oleh UEM sangat dekat dengan rakyat Malaysia, oleh itu pentingnya amalan antirasuah ini dilaksanakan dalam organisasi syarikat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bangunan UEM, Bangsar South pada Selasa.

Faizatul Farhah Ghazali
Faizatul Farhah Ghazali

Mengulas lanjut, Faizatul Farhah berkata, UEM juga turut menyediakan pelbagai saluran kepada pekerja untuk melaporkan sebarang aktiviti berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dengan kolaborasi bersama masyarakat dan juga badan bukan kerajaan(NGO) mampu membanteras rasuah daripada peringkat akar umbi.

Beliau berkata, sebagai langkah terbaik, syarikat mereka turut mengikut garis panduan pengurusan yang digariskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengelak risiko salah guna kuasa.

“Kita cuba mengikut langkah atau garis panduan yang dikeluarkan oleh SPRM dalam pengurusan syarikat bagi memastikan integriti terus terpelihara.

“Setiap tahun lembaga pengarah dan beberapa jawatankuasa tertinggi akan membuat deklarasi sebagai langkah untuk mengelak masalah konflik berkepentingan dalam pentadbiran syarikat.

“Oleh itu, kami berhasrat untuk terus menjadi rakan sinergi Rasuah Busters bagi sama-sama membantu membanteras budaya rasuah dalam negara,” katanya.