[VIDEO] Wanita dalang rompakan kumpulan bersenjata

A
A
A

TELUK INTAN - Polis berjaya menahan seorang wanita yang menjadi dalang rompakan bersenjata terhadap warga emas di sebuah rumah di Taman Indah Jaya dekat sini, bulan lalu.

Wanita berusia 30 tahun yang masih bujang itu diberkas bersama lapan ahli kumpulan lain termasuk pasangan suami isteri dan adik beradik dalam serbuan berasingan pada 29 November lepas.

Ahmad Adnan (kiri) menunjukkan senjata digunakan kumpulan penjenayah dalam kes samun bersenjata melibatkan seorang warga emas, 22 November lalu.
Ahmad Adnan (kiri) menunjukkan senjata digunakan kumpulan penjenayah dalam kes samun bersenjata melibatkan seorang warga emas, 22 November lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, wanita berkenaan mengaku telah memberikan maklumat mangsa kepada ahli kumpulannya hingga membawa kepada kejadian rompakan itu.

"Semakan dilakukan mendapati, wanita itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Ahmad Adnan (kiri) menunjukkan sembilan suspek yang berjaya diberkas susulan kes samun bersenjata melibatkan seorang warga emas, 22 November lalu.
Ahmad Adnan (kiri) menunjukkan sembilan suspek yang berjaya diberkas susulan kes samun bersenjata melibatkan seorang warga emas, 22 November lalu.

"Hasil soal siasat ke atas suspek kemudiannya membawa kepada penahanan ahli kumpulan lain yang terlibat sama dalam kejadian itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, lapan suspek lain berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan di beberapa lokasi di Teluk Intan, Selangor dan Kuala Lumpur antara 29 November hingga 3 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis turut menemui barang kes yang dilarikan antaranya sebuah kereta jenis Perodua Axia, dua rantai emas berserta loket, sepasang subang emas, cincin dan satu ketul emas yang telah dileburkan berjumlah hampir RM60,000.

"Polis turut merampas dua bilah parang yang digunakan suspek dalam kejadian samun itu.

"Saringan awal dijalankan didapati semua suspek positif dadah jenis methaphitamine dan masing-masing mempunyai rekod kesalahan dadah," katanya.

Ahmad Adnan berkata, semua suspek yang tidak bekerja itu dipercayai baru sahaja aktif menjalankan kegiatan samun dan menyasarkan mangsa yang telah diketahui mempunyai barang berharga.

Barang kes yang dilarikan berjaya ditemui semula dengan tertangkapnya sembilan suspek utama kes samun bersenjata melibatkan seorang warga emas, 22 November lalu.
Barang kes yang dilarikan berjaya ditemui semula dengan tertangkapnya sembilan suspek utama kes samun bersenjata melibatkan seorang warga emas, 22 November lalu.

Ujarnya, kesemua mereka telah direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan melarikan kenderaan.

"Dengan tertangkapnya semua suspek ini, polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh kurang dua minggu," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang, 22 November itu, seorang lelaki berusia 74 tahun cedera di tangan akibat ditetak sekumpulan penjenayah yang menyamar sebagai tukang rumah.

Mangsa dikatakan tinggal seorang diri di rumah berkenaan selepas kematian isteri.