Selisih faham isu rumah sewa, wanita warga emas maut ditikam

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

GOMBAK - Perselisihan faham berkaitan rumah sewa dipercayai menjadi punca seorang wanita warga emas maut ditikam dalam sebuah kereta di Taman Ehsan Kepong dekat sini Khamis lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa ditemui orang awam di lokasi kejadian dalam keadaan berlumuran darah kira-kira jam 10 malam.

"Pihak polis yang menerima laporan berkaitan kejadian itu kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa telah meninggal dunia.

"Pemeriksaan awal dijalankan mendapati mangsa dipercayai ditikam," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, setakat ini seramai lapan lelaki berumur 21 hingga 35 tahun ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.

"Kesemua suspek warga tempatan itu diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Gombak pada Ahad.

"Siasatan awal mendapati terdapat perselisihan faham antara mangsa dan suspek berkaitan rumah yang disewa mangsa kepada suspek yang ditahan," katanya.

Menurutnya, polis turut menemui pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa ketika kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.