Gesa siasat segera dakwaan penyelewengan UiTM Holdings

Ibrahim menunjukkan laporan yang dibuat berhubung kes UiTM Holdings di SPRM Negeri Selangor pada Isnin.
Ibrahim menunjukkan laporan yang dibuat berhubung kes UiTM Holdings di SPRM Negeri Selangor pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan berlaku penyelewengan melibatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings) seharusnya dipandang berat dan siasatan segera perlu dilakukan oleh pihak berkuasa.

Bekas Lembaga Pengarah UiTM dan ahli Alumni universiti itu, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, kes seumpama itu seharusnya menjadi keutamaan untuk disiasat, seterusnya mendakwa pihak terlibat.

Beliau yang juga Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berkata, tindakan segera menyiasat kes itu adalah penting kerana jumlah penyelewengan sangat besar iaitu melibatkan ratusan juta ringgit dan ia merupakan kepentingan awam.

"Perkara yang berlaku ini sangat mengecewakan kerana UiTM adalah lambang institusi Bumiputera dan sebuah gedung ilmu terkemuka negara.

"Oleh yang demikian, pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak segera menyiasat secara agresif.

Ibrahim menunjukkan laporan yang dibuat berhubung kes UiTM Holdings di SPRM Negeri Selangor pada Isnin.
Ibrahim menunjukkan laporan yang dibuat berhubung kes UiTM Holdings di SPRM Negeri Selangor pada Isnin.

"Saya telah melaporkan perkara ini sejak setahun lalu, namun saya tidak tahu sejauh mana siasatan telah dilakukan," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas selesai membuat laporan berhubung kes UiTM Holdings di Pejabat SPRM Negeri Selangor, dekat sini.

Artikel Berkaitan:

Laporan yang dibuat itu turut mendapat sokongan daripada bekas Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, dia sama sekali tidak akan berdiam diri apabila institusi pendidikan itu cuba 'dirosakkan' oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tegas beliau, tindakan berterusan akan dilakukan demi menyelamatkan UiTM dan membersihkan nama universiti tersebut.

Untuk itu kata beliau, satu pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilakukan bagi membincangkan kes penyelewengan di UiTM membabitkan dana berjumlah ratusan juta ringgit.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, tempoh masa juga diberikan kepada pihak berkuasa melaksanakan tugas penyiasatan dengan telus.

Namun begitu katanya, jika tidak mempunyai sebarang perkembangan, tindakan lanjut akan diambil.

"Saya tidak akan berdiam diri dalam isu ini. Saya akan terus perjuangkan sehingga akhir hayat kerana ia legasi bangsa.

"Jangan musnahkan apa yang telah diperjuangkan selama ini demi anak bangsa.

"Malah tindakan perundangan juga akan diambil sekiranya perlu untuk mengheret mereka yang bersalah," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!