SMK Shah Alam tak pandang SMK Meru sebelah mata

Kesebelasan utama SMK Shah Alam bagi saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15.
Kesebelasan utama SMK Shah Alam bagi saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15.
A
A
A

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam enggan menganggap status pasukan pilihan yang dilabel menjelang perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 tahun menentang SMK Meru pada Isnin, sebagai jaminan akan meraih kemenangan mudah.

Sebaliknya, Mohd Akid Aiman Mohd Zanggi menegaskan juara Piala Sumbangsih itu masih perlu memberikan permainan terbaik bagi memantapkan aksi jagoan Shah Alam apabila berdepan pasukan dari Klang tersebut di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

"Alhamdulillah, syukur, kita berada pada landasan yang tepat untuk merangkul kejuaraan berganda dalam edisi 2023 kali ini.

"Namun dalam perlawanan akhir kita perlu berwaspada dengan strategi dan taktikal digunakan oleh pihak lawan supaya kita tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menyaksikan pasukan berputih mata pada pengakhirannya.

"Ini kerana kita juga tidak boleh jangka apa yang akan berlaku di atas padang nanti, mungkin pasukan lawan juga ada kejutan," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Sebagai rekod, SMK Shah Alam mara ke perlawanan akhir kejuaraan yang mendapat tajaan daripada Kumpulan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) itu selepas menewaskan SMK Darul Ehsan 2-1 dalam perlawanan separuh akhir.

No Image Caption

Mengenai persiapan pasukan menjelang perlawanan akhir itu, Mohd Akid Aiman berkata, pemain-pemain berada pada tahap kecergasan yang memberangsangkan dan bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah tiada pemain kita yang dikenakan sebarang penggantungan sekali gus membolehkan barisan jurulatih mempunyai pilihan untuk menyenaraikan pemain, selain merencana strategi pada malam esok (Isnin).

"Buat masa ini kita jalani sesi latihan ringan bagi memperbaiki bahagian serangan supaya pemain-pemain kembali mendapat semula sentuhan gol mereka," katanya.

Mengenai cabaran yang dijangka bakal dihadirkan SMK Meru, Mohd Akid Aiman berkata, SMK Meru juga merupakan pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan edisi 2023.

"Kita percaya kejutan yang dilakukan skuad B-18 SMK Meru akan menjadi inspirasi kepada pasukan B-15, selain SMK Meru juga merupakan pasukan senior dalam kejuaraan ini yang dibarisi barisan jurulatih berpengalaman berbanding SMK Shah Alam

"Dan kita juga akui SMK Meru mempunyai pertahanan yang baik berdasarkan keputusan sepanjang laluan dari peringkat kumpulan hingga separuh akhir apabila berjaya menyerap tekanan dan serangan pihak lawan.

Pengurusan, jurulatih dan pemain SMK Shah Alam mara perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023.
Pengurusan, jurulatih dan pemain SMK Shah Alam mara perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023.

"Secara keseluruhan, SMK Meru akan menjadi penghalang untuk pasukan SMK Shah Alam menjadi juara kerana mereka juga akan bermain bermati-matian untuk meraih keputusan sama bagi mengikuti jejaki pasukan senior B-18 sebelum ini," katanya yang menjangkakan perlawanan sengit kedua-dua pasukan.

Sebagai rekod, ini merupakan penampilan kedua skuad SMK Shah Alam di pentas perlawanan akhir kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 selepas kali terakhir pada edisi 2022 berjaya menewaskan SMK Dato' Harun 3-2 pada aksi final sejak pengenalan kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Mohd Akid Aiman turut berterima kasih kepada warga SMK Shah Alam khasnya pentadbir sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa pemain yang sentiasa memberi sokongan kepada, pasukan sekolah tersebut.

"Sokongan ini secara tidak langsung menyuntik semangat pemain-pemain untuk beraksi pada tahap terbaik untuk berada di pentas perlawanan akhir

"Saya berharap warga SMK Shah Alam dapat hadir ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan SMK Shah Alam," katanya.


SMK Shah Alam Road To Final Petaling Jaya 2023

Separuh Akhir

SMK Shah Alam 2-1 SMK Darul Ehsan

Suku Akhir

SMK Shah Alam 3-0 SMK Saujana Utama

Pusingan 16 Terbaik

SMK Shah Alam 4-0 SMK Seksyen 7

Kumpulan A

SMK Bandar Rinching 0-2 SMK Shah Alam

SMK Tengku Idris Shah 0-6 SMK Shah Alam

SMK Shah Alam 5-0 SMK Sultan Abdul Samad

*SMK Shah Alam mara selaku juara Kumpulan A (menang tiga perlawanan, jaring 13 gol)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!