Selama perlu jadi daerah penuh atasi kemiskinan tegar

Mohd Akmal (tengah) bersama-sama Mohd Najmuddin (kiri) dan Khalil ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak di sini pada Isnin.
Mohd Akmal (tengah) bersama-sama Mohd Najmuddin (kiri) dan Khalil ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak perlu menaik taraf Selama sebagai daerah penuh bagi membolehkan limpahan peruntukan diterima penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin berkata, peruntukan pembangunan yang diterima daripada kerajaan negeri sebelum ini dikongsi di bawah Daerah Larut Matang dan Selama yang banyak memberi tumpuan kepada Taiping.

Menurutnya, hanya sebahagian kecil sahaja peruntukan diterima kawasan Selama malah berdasarkan data e-Kasih daerah kecil itu masih kekal mempunyai penduduk miskin tegar tertinggi di dalam Perak.

"Bukan kita nak kerajaan bagi duit berjuta-juta kepada daerah Selama, nak minta isytihar daerah penuh sahaja. Apabila isytihar daerah penuh, pihak kerajaan senang nak merancang limpahan ekonomi untuk daerah Selama.

"Kita harap kerajaan negeri dan kerajaan pusat mendengar rintihan saya dan rakan-rakan mewakili warga Selama tanpa mengira perbezaan kaum mahu pun fahaman politik," katanya kepada pemberita selepas membahaskan Belanjawan Negeri Perak 2024 sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, ADUN Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.

Mohd Akmal berkata, daerah kecil Selama juga telah ada kemudahan awam seperti Hospital Selama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama dan sebagainya.

Menurutnya, ia berbeza dengan daerah Bagan Datuk yang diumumkan sebagai daerah penuh yang tidak mempunyai kemudahan awam seperti di daerah kecil Selama.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jika naik taraf sebagai daerah penuh direalisasikan, ia akan memberi manfaat kepada seramai kira-kira 130,000 penduduk.

Sementara itu, ketika perbahasan, Mohd Akmal memaklumkan kawasan Selama telah diwartakan sebagai daerah penuh sejak tahun 1900 lagi, namun ia belum dilaksanakan.

Malah katanya, difahamkan sejak tahun 2021, dua mesyuarat bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah diadakan bagi mengangkat Selama sebagai daerah penuh.

Menurutnya, tanpa status daerah penuh, Selama kurang diberi keutamaan untuk dibangunkan dan tiada institusi yang dibina seperti Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan yang hampir dibina di Selama namun akhirnya tidak menjadi kenyataan.