Rifdean dinobat Olahragawan Negeri Perak

Sultan Nazrin menyempurnakan penyampaian Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Negeri Perak kepada Muhammad Rifdean dan Chi Hui bersempena Anugerah Sukan Negeri Perak 2021/2022 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini pada Jumaat.
Sultan Nazrin menyempurnakan penyampaian Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Negeri Perak kepada Muhammad Rifdean dan Chi Hui bersempena Anugerah Sukan Negeri Perak 2021/2022 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini pada Jumaat.
A
A
A

JUARA Muaythai Dunia tiga kali, Mohamad Rifdean Masdor dinobat sebagai Olahragawan Negeri Perak bagi tahun 2021/2022.

Kejayaan itu sekali gus menewaskan dua calon lain iaitu atlet Lawn Bowls, Izzat Shameer Dzulkeple dan atlet akuatik, Muhammad Syafiq Puteh.

Atlet berusia 21 tahun itu berjaya menjuarai Kejohanan Muaythai Dunia IFMA berturut-turut pada tahun 2021 di Thailand, diikuti pada tahun berikutnya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan terbaharu pada Mei lalu di Bangkok, Thailand sekali gus mencipta hatrik.

Bagi Olahragawati Negeri Perak pula diungguli atlet berbasikal, Nyo Chi Hui yang menewaskan dua lagi calon iaitu atlet Muaythai, Nur Amisha Azrilzal dan atlet akuatik, Joelle Chan Zu-ee.

Kedua-dua olahragawan dan olahragawati masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM7,000, blazer, trofi serta piala pusingan.

Sementara itu bagi Olahragawan Harapan, seperti dijangka atlet olahraga sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi memenangi kategori tersebut menewaskan dua lagi atlet berbakat dari sukan tenis, Mitsuki Leong Wei Kang dan skuasy, Low Wa Sern.

Olahragawati Harapan pula dianugerahkan kepada atlet tenis, Shihomi Leong Xi Xuan sekaligus menewaskan atlet olahraga, Farah Syakira Azifsafarin dan atlet tenpin boling, Tuan Nasrin Batrisya Tuan Zamzuri.

Masing-masing menerima hadiah berupa piala dan insentif bernilai RM3,000.

Artikel Berkaitan:

Majlis penyampaian disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersempena Anugerah Sukan Negeri Perak 2021/2022 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Jumaat.

Sementara itu, bagi kategori Jurulatih Terbaik pula diberikan kepada Jurulatih Muaythai Kebangsaan, Bernard Anak Radin manakala Pasukan Terbaik pula milik Pasukan Hoki Piala Tun Abdul Razak.

Kategori Kepimpinan Sukan dimenangi Tengku Datin Seri Noor Hazah Al'Hajjah (Lawn Bowls); Anugerah Jasamu Dikenang, Foo Keat Seong (Hoki) dan Anugerah Keluarga Sukan Mohammad 'Ariffin Abu Bakar (Petanque) manakala Anugerah Media pula disandang Ketu Biro Utusan Malaysia, Sayed Mohd Hesham Syed Idris.

Dalam pada itu, Anugerah Khas Atlet Terbaik Para Lelaki dimenangi atlet olahraga, Mohammad Ashraf Mohd Haisham manakala Atlet Terbaik Para Wanita dimenangi atlet memanah, Nur Jannaton Sarnoh.