[VIDEO] 'Syukur boleh pulang, harap tak banjir lagilah'

A
A
A

JOHOR BAHRU - Rata-rata mangsa banjir di Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru di sini gembira apabila dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada Sabtu.

Sebahagian penduduk membawa barangan peribadi masing-masing untuk pulang ke rumah selepas PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru ditutup tengah hari tadi.
Sebahagian penduduk membawa barangan peribadi masing-masing untuk pulang ke rumah selepas PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru ditutup tengah hari tadi.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kesemua mangsa banjir sibuk membuat persiapan untuk pulang ke rumah setelah berada di PPS berkenaan sejak Jumaat lalu.

Menurut seorang penduduk dari Kampung Sentosa Damai, Hafiz Ahmad, 62, kebenaran pulang ke rumah itu diterima dengan penuh rasa syukur setelah berada di PPS berkenaan selama tiga hari dua malam.

Hafiz
Hafiz

Bagaimanapun, Hafiz berharap cuaca baik pada Sabtu akan berterusan supaya banjir kilat tidak berulang lagi.

“Alhamdulillah hari ini kami akan pulang ke rumah. Saya harap hari ini tak berlaku hujan dan tak berlaku banjir lagilah.

Artikel Berkaitan:

“Sebab, kelmarin hujan lebat dan air naik mendadak. Tetapi kerugian, kerosakan peralatan di rumah agak kurang sebab kami dah bersedia.

“Terima kasih kepada semua pihak seperti JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam), KKM (Kementerian Kesihatan) termasuk semua sukarelawan yang membantu selama kami berada di PPS ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dua PPS dibuka Jumaat lalu melibatkan Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat serta PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau.

Bagaimanapun kedua-dua PPS tersebut ditutup pada 12 tengah hari ini selepas banjir pulih.

Nursafinas
Nursafinas

Sementara itu, seorang bakal ibu, Nusafinas Borhan, 23, dari kampung Sentosa Damai 6 berkata, dia sangat gembira apabila dimaklumkan bahawa kesemua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menurutnya, selama berada di PPS tersebut, dirinya berasa agak selesa dengan kemudahan serta fasiliti yang disediakan.

“Alhamdulillah, hari ini dapat kebenaran daripada pihak JKM dan semua yang terlibat.

“Dalam tiga hari juga duduk di sini sejak air banjir naik laju di rumah hingga paras pinggang (dianggarkan satu meter lebih).

Orang ramai membantu kerja-kerja membuka khemah sementara di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru.
Orang ramai membantu kerja-kerja membuka khemah sementara di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru.

“Apa pun, saya agak selesalah berada di PPS ini kerana orang mengandung macam saya, makan, mandi semuanya okay,” katanya.

Ketua Kampung Cahaya Baru yang juga pengerusi PPS berkenaan, Mohd Sobri Samion, 60, berkata, pada peringkat awal seramai 67 mangsa dipindahkan ke PPS susulan air naik secara mendadak di kawasan tersebut.

Mohd Sobri
Mohd Sobri

Katanya, air berkenaan dipercayai daripada limpahan sungai berhampiran dan menyebabkan berlakunya banjir kilat.

“Sudah tiga hari dua malam kesemua mangsa banjir dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat berada di PPS ini.

“Hari ini PPS ini sudah pun ditutup dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah selepas makan tengah hari.

“Bagaimanapun, kita akan tetap bersiap sedia kalau banjir berlaku lagi dan kami bersedia khususnya bagi kerja-kerja menyelamatkan mangsa banjir,” katanya.