Jelajah Jelita@RISDA realisasikan impian usahawan Terengganu

Ros Aiza (kanan) usahawan menjual pakaian batik dan tudung yang memiliki jenama Rose Scarf & Busana hasil bimbangan daripada RISDA.
Ros Aiza (kanan) usahawan menjual pakaian batik dan tudung yang memiliki jenama Rose Scarf & Busana hasil bimbangan daripada RISDA.
A
A
A

KEMAMAN - Bermula dengan berniaga tudung di pasar malam membuahkan hasil apabila seorang usahawan wanita ini berjaya mengubah hidupnya dengan mempunyai rekaan tudung dan pakaian batik yang dihasilkan sendiri.

Ros Aiza Jusoh, 36, berkata, dia yang sudah menceburi bidang perniagaan batik sejak 10 tahun lalu perlu memastikan produk dihasilkan mengikut trend terkini selain memiliki keunikan tersendiri bagi memastikan produk yang dijual menepati citarasa dan mendapat sambutan daripada pelanggan.

ROS AIZA
ROS AIZA

Kini dia boleh berbangga kerana sudah memiliki perniagaan tudung dan pakaian batik jenama sendiri, 'Rose Scarf & Busana' di bengkel miliknya di Kampung Pagar Ubi, Kuala Nerus.

"Sebenarnya saya sudah lama menceburi bidang perniagaan ketika belajar di sebuah kolej dengan berniaga tudung secara kecil-kecilan. Selepas menamatkan pengajian diploma, saya mula menghasilkan rekaan tudung sendiri dengan menjualnya di pasar malam dan lobi di sebuah bangunan agensi kerajaan.

"Namun saya, terfikir sampai bila hanya jual di tempat yang sama (pasar malam). Jadi saya cari jalan untuk naik taraf perniagaan diusahakan ini dengan meminta bantuan dan sokongan dari pelbagai agensi untuk bantu perniagaan ini.

"Saya juga mendapat idea untuk buat suatu kelainan iaitu hasilkan rekaan tudung batik yang belum pernah lagi dibuat di mana-mana tempat. Alhamdulillah, impian saya tercapai apabila mendapat bantuan daripada beberapa agensi termasuk Kraftangan Terengganu dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)," katanya kepada Sinar Harian pada program Jelajah Jelita@RISDA Terengganu di sebuah pusat membeli belah dekat sini.

Artikel Berkaitan:

Ros Aiza (kanan) sedang melayan seorang pelanggan yang ingin membeli baju yang dihasilkannya.
Ros Aiza (kanan) sedang melayan seorang pelanggan yang ingin membeli baju yang dihasilkannya.

Mengulas lanjut, Ros Aiza berkata, dia juga berjaya menghasilkan tudung batik sutera, baju kaftan, baju kemeja dan uniform bercorak batik.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia menghasilkan tudung dan pakaian tersebut dengan bantuan daripada suami selain mampu menghasilkan 20 helai pakaian dalam masa satu hari.

"Saya tiada pekerja dan segala hasil kerja saya dilakukan di bengkel sendiri. Saya memang minat batik maka saya cuba pelbagaikan karya bagi memastikan setiap rekaan dihasilkan itu mengikut fesyen dan gaya terkini," ujarnya.

Ros Aiza (kanan) kini bangga menjadi usahawan menjual pakaian batik dan tudung yang memiliki jenama Rose Scarf & Busana hasil bimbangan daripada RISDA.
Ros Aiza (kanan) kini bangga menjadi usahawan menjual pakaian batik dan tudung yang memiliki jenama Rose Scarf & Busana hasil bimbangan daripada RISDA.

Dalam pada itu, Ros Aiza menyatakan RISDA banyak membantu usahawan bimbingannya menerusi pelbagai bantuan dari segi peralatan.

"Saya dapat mesin jahit dan peralatan-peralatan untuk buat produk batik. Malah ketika bengkel saya terjejas akibat dilanda banjir teruk, RISDA membantu saya untuk memulakan semula perniagaan batik ini," ulasnya.

Sementara itu, Ahmad Munzir Mazji, 25, berkata, perniagaan makanan diusahakan berjaya dikembangkan dengan bantuan peralatan daripada RISDA.

AHMAD MUNZIR
AHMAD MUNZIR

"Saya mempunyai kedai yang menjual masakan panas dan menu paling laris ialah Nasi Lemak Senandung Malam. Nasi lemak itu paling dicari kerana keunikan rasa dan sambal yang digemari pelanggan.

"Saya bersyukur kerana menerima bantuan daripada RISDA iaitu dapur memasak, peti sejuk yang besar dan tempat untuk membuat kerja.

"Sedikit sebanyak bantuan peralatan dan modal ini memberi kelegaan pada kami (peniaga) selain dapat meningkatkan pendapatan dengan menghasilkan lebih banyak makanan yang unik dan menepati cita rasa pelanggan," katanya yang mempunyai sembilan pekerja.