Usahawan Terengganu kongsi rahsia kejayaan di Jelajah Jelita@RISDA

Pemilik Hogeh Coffee, Azroy Hassan Lim (kiri) sedang menyiapkan kopi yang dipesan pelanggan di karnival Jelajah Jelita@RISDA, di Kemaman, kelmarin.
Pemilik Hogeh Coffee, Azroy Hassan Lim (kiri) sedang menyiapkan kopi yang dipesan pelanggan di karnival Jelajah Jelita@RISDA, di Kemaman, kelmarin.
A
A
A

KEMAMAN - Percaturan keputusan yang dibuat Azroy Hassam Lim, 35, nekad meninggalkan kerja bergaji lumayan sebagai jurutera di sebuah syarikat di Singapura akhirnya membuahkan hasil apabila kini berjaya membuka perniagaan kedai kopi berkonsepkan kanopi di tepi jalan dikenali Hogeh Coffee.

Dia memulakan perniagaan tersebut kerana minat terhadap minuman kopi sekali gus mengejar impian untuk terbabit dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, walaupun pada awalnya dia memang tiada pengalaman dalam perniagaan kopi namun didorong oleh minatnya terhadap minuman itu, dia kini sudah mempunyai 45 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Saya memang seorang 'kaki minum kopi' dan setiap saya hari saya akan beli kopi kampung di tepi jalan dan mana-mana kopi yang dijual di kafe. Kemudian saya terfikir kenapa tidak hasilkan kopi sendiri dengan membuka perniagaan menjual kopi dengan jenama sendiri.

"Jadi mulanya berniaga Hogeh Coffee ini pada bulan Mei 2022. Kita mula buka dahulu di Kemaman dan kemudian ia berkembang ke kawasan serta negeri-negeri lain.

"Permulaaan konsep itu dengan menjual secara 'drive thru' di mana kita fokus pada jualan kanopi yang dibuka tepi jalan. Alhamdulillah, projek terbaharu pada tahun ini kita akan buka sebuah kafe di Kemaman dalam masa terdekat ini," katanya.

Azroy berkata demikian kepada Sinar Harian pada program Jelajah Jelita@RISDA Terengganu di sebuah pusat membeli belah dekat sini.

Artikel Berkaitan:

Azroy kini sudah mempunyai 45 cawangan Hogeh Coffee di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Azroy kini sudah mempunyai 45 cawangan Hogeh Coffee di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Anak kelahiran Kemaman itu berkata, dia mahu membawa identiti Terengganu dengan menggunakan dialek dari negeri tersebut sebagai jenama perniagaan miliknya.

"Ramai yang tanya kena guna perkataan 'hogheh'. Hogheh merupakan dialek Terengganu yang bermaksud 'goncang'.

"Sebenarnya tidak ada kaitan dengan teknik pembuatan kopi yang dihasilkan. Cuma kita guna perkataan hogheh itu untuk mengambarkan perkataan sesuai yang mempunyai kaitan dengan Terengganu," ulasnya.

Dalam pada itu, Azroy berkata, dia hanya menggunakan modal sendiri berjumlah RM5,000 tanpa meminta bantuan daripada mana-mana agensi untuk membuka perniagaan kopi tersebut.

Sementara itu, seorang lagi usahawan, Sharifah Azita Syed Anuwar, 29 yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Komunikasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan dia meneruskan perniagaan warisan keluarga iaitu Kueh Atap Nipoh dengan menjual lebih 10 jenis kuih di sekitar Kemaman.

Katanya, kuih yang dihasilkan mengikut tempahan dibuat daripada pelanggan terutama melibatkan majlis korporat, keraian, kenduri dan sebagainya.

"Saya memang pentingkan kualiti dan rasa serta tekstur kuih itu sendiri. Jika jualan tidak habis, kita tak pernah sesekali panaskan kembali kuih tersebut.

"Antara kuih paling digemari dan dicari pelanggan ialah popia sira dan tahu bergedil daging. Pada bulan Ramadan memang mendapat permintaan tinggi malah hari biasa pula kita fokus pada tempahan di mana segala proses membuat luih hanya dijalankan di rumah," ulasnya.

Sharifah Azita meneruskan perniagaan milik keluarganya dengan bantuan serta bimbangan daripada RISDA.
Sharifah Azita meneruskan perniagaan milik keluarganya dengan bantuan serta bimbangan daripada RISDA.

Sementara itu, Sharifah Azita berkata, dia berterima kasih kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kerana telah memberikan bantuan dari segi peralatan dan bimbingan untuk mengusahakan perniagaan kuih tersebut.

"Saya mendapat bantuan peralatan seperti meja, ketihar dan pengukus daripada RISDA. Selain, pihak RISDA juga banyak mengadakan kursus dan latihan bimbingan kepada usahawan.

"Kursus sedemikian meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan berkenaan mengendalikan serta menambah baik perniagaan diusahakan," jelasnya.