Jelajah Jelita@RISDA dedahkan kegigihan usahawan Terengganu

Dua usahawan berjaya bimbingan RISDA, Nur Akmal Alias (kanan) dan Che Zulilawati ketika menyertai Forum Meja Jelita, sempena program TVET Jelajah Jelita di Dewan Serbaguna Mesra Mall di Kemaman.
Dua usahawan berjaya bimbingan RISDA, Nur Akmal Alias (kanan) dan Che Zulilawati ketika menyertai Forum Meja Jelita, sempena program TVET Jelajah Jelita di Dewan Serbaguna Mesra Mall di Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Ungkapan tangan yang mengayun buaian akan menggoncang dunia begitu sinonim bagi dua suri rumah yang kini bergelar usahawan berjaya.

Kegigihan mereka menceburi bidang perniagaan ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mengubah nasib keluarga untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan dapat menjalani kehidupan lebih baik.

Nur Akmal Alias, 42 yang berasal dari Kampung Binjai di Kemaman berkongsi kisah suka duka sebelum mengusahakan perniagaan keropok di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman.

Mewarisi perusahaan keropok dari bapanya, Nur Akmal yang sebelum ini bergelar suri rumah sepenuh masa meletakkan harapan besar untuk memajukan lagi perniagaan itu.

"Sebelum dapat tapak niaga di R&R Perasing, saya buat macam-macam kerja untuk bantu suami. Masa tu dia kerja bahagian logistik di kawasan perindustrian Teluk Kalong di Kemaman.

"Bila dah dapat tapak niaga ini saya pada waktu itu saya masih lagi bertatih dan tidak ada banyak ilmu dalam perniagaan. Waktu tu anak tiga orang dan masih kecil lagi.

"Anak bongsu saya kerap kena sawan dan tak boleh duduk dalam cuaca panas. Jadi saya tiada tempat nak tinggal dia dan terpaksa bawa bekerja. Saya terpaksa ayun buai beri dia tidur sambil berniaga. Waktu tu nak dapat untung RM10 sehari pun susah," katanya ketika ditemui sempena Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau Jelajah Jelita di Mesra Mall, di sini.

Menurut Akmal, dia pernah menolak tawaran menyambung pelajaran ke United Kingdom (UK) atas faktor kewangan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Nur Akmal yang pernah menolak tawaran menyambung pelajaran ke United Kingdom (UK) atas faktor kewangan keluarga, kini berjaya sebagai usahawan keropok dengan bimbingan RISDA.
Nur Akmal yang pernah menolak tawaran menyambung pelajaran ke United Kingdom (UK) atas faktor kewangan keluarga, kini berjaya sebagai usahawan keropok dengan bimbingan RISDA.

Bagaimanapun, anak sulung dari 10 beradik itu berjaya membuktikan usaha gigih tanpa jemu akhirnya membuahkan hasil yang bermakna.

"Saya bersyukur, lepas belajar dan sertai kursus dalam bengkel yang disediakan pihak RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) perniagaan saya lebih teratur dan sistematik.

"Saya kini menghasilkan pelbagai variasi keropok antaranya keropok keping, keropok lekor vacum dan keropok goreng vacum," katanya yang telah sembilan tahun berniaga.

Bagi seorang lagi usahawan bimbingan RISDA, Che Zulilawati Che Busu, 40 pula, apa yang dicapai ketika ini berkat kesabaran dan rezeki dikurniakan ALLAH SWT.

"Saya memulakan perniagaan karipap mini pada 2016. Waktu itu saya menyambung perniagaan kedua orang tua saya. Selepas arwah ayah meninggal dunia, ibu saya mengalami masalah penglihatan, tidak boleh melihat dan tidak mampu lagi meneruskan perniagaan.

"Waktu tu saya rasa terpanggil untuk teruskan perniagaan tu. Dari mula belajar daripada ibu, saya memulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan di rumah sewa.

"Sebelum ini susah sangat nak hasilkan karipap sebab perlu proses isi ikan untuk dijadikan inti karipap secara manual, sekarang tidak lagi sebab dah ada mesin," kata ibu tiga anak yang berasal dari Kampung Pulau Ribu, Jertih di Besut.

Che Zulilawati menunjukkan sebahagian produk yang dihasilkan ketika menyertai pameran sempena program TVET Jelajah Jelita di Dewan Serbaguna Mesra Mall di Kemaman.
Che Zulilawati menunjukkan sebahagian produk yang dihasilkan ketika menyertai pameran sempena program TVET Jelajah Jelita di Dewan Serbaguna Mesra Mall di Kemaman.

Menurut Che Zulilawati, perniagaannya semakin melonjak selepas dia menjual produk secara dalam talian dan menggunakan sistem ejen.

"Waktu tu perniagaan saya semakin berkembang. Ia ditambah dengan bantuan geran dalam bentu kewangan dan peralatan bantuan perniagaan dari Risda.

"Saya bersyukur sebab saya kini sudah tidak menggunakan bilik kecil di rumah sewa untuk menghasilkan karipap sebaliknya memiliki sebuah kilang untuk memproses produk bersebelahan dengan kediaman yang saya bina baharu.

"Dalam masa yang sama, saya juga dapat bantu menambah pendapatan suami yang ketika itu bekerja sebagai pemandu lori dengab gaji sekitar RM900," ujarnya.

Che Zulilawati bersama seorang pekerja ketika menyertai pameran.
Che Zulilawati bersama seorang pekerja ketika menyertai pameran.

Selain karipap mini, Che Zulilawati turut menghasilkan beberapa produk lain antaranya popia simpul, serunding dan kerepek cheese yang mengandungi dua pilihan perisa iaitu pedas dan salted egg.