Penguat kuasa JKNT kini dilengkapi kamera badan

Dr Kasemani memakaikan kamera badan pada vest salah seorang pegawai penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) pada Penyerahan Vest Berkamera peringkat JKNT tahun 2023 di Klinik Kesihatan Rahmat hari ini. - Foto Bernama
Dr Kasemani memakaikan kamera badan pada vest salah seorang pegawai penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) pada Penyerahan Vest Berkamera peringkat JKNT tahun 2023 di Klinik Kesihatan Rahmat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BANDAR PERMAISURI - Anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kini dilengkapi dengan ves yang mempunyai kamera badan bagi menjaga keselamatan mereka dan memelihara integriti semasa menjalankan operasi.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, bagi fasa pertama ini sebanyak 23 ves berkamera badan telah dibekalkan kepada anggota penguat kuasa di Terengganu.

"Kesemua ves berkamera itu diagihkan kepada lapan daerah dan ia akan ditambah secara berperingkat...ini merupakan kali pertama teknologi kamera badan dengan resolusi serta sensitiviti tinggi digunakan di lapangan oleh penguat kuasa JKNT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Operasi Gomo Asap Pagi Bersepadu dan Penyerahan Ves Berkamera Peringkat JKNT di Klinik Kesihatan Rahmat, di sini hari ini.

Dr Kasemani berkata, teknologi tersebut akan turut digunakan ketika Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan pelaksanaan undang-undang kesihatan awam lain.

Menurutnya, rakaman gambar dan video yang direkodkan daripada kamera badan itu akan digunakan sebagai bahan bukti kesalahan serta sokongan keterangan bagi pelaksanaan keseluruhan aktiviti, selain menjaga keselamatan dan memelihara integriti anggota penguat kuasa.

"Kamera badan ini akan digunakan bermula hari ini dalam setiap operasi yang dijalankan dan diharap ia memberi lebih kesan dalam penguatkuasaan yang dijalankan.

Sementara itu, Dr Kasemani berkata, sebanyak 6,266 notis kesalahan pelanggaran PPKHT 2004 dikeluarkan menerusi 1,170 operasi yang dijalankan sejak Januari lepas hingga hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 13.8 peratus berbanding tahun lepas apabila hanya 5,505 notis dikeluarkan.

"Kebanyakan kesalahan yang dikesan melibatkan perbuatan merokok di kawasan larangan termasuk di kedai makan,” katanya. - Bernama