Segerakan siasatan kes keganasan rumah tangga lelaki bergelar Datuk

Wong (dua dari kiri) bersama Junz (kanan) dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu.
Wong (dua dari kiri) bersama Junz (kanan) dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu.
A
A
A
KOTA KINABALU - Seorang wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga merayu supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan menyiasat laporan yang dilakukan terhadap suaminya yang juga pegawai tinggi kerajaan di sebuah kementerian di negeri ini.



Wanita dikenali sebagai Wong, 31, berkata, laporan polis telah dibuat membabitkan tiga insiden bahawa dia dicederakan oleh suaminya yang bergelar 'Datuk'.

"Saya buat laporan polis bagi mendapatkan keadilan selepas dipukul dan diserang terutama ketika mengandung.

"Insiden pertama berlaku pada 19 April lalu di kediaman kami di Likas sehingga menyebabkan saya mengalami kecederaan di kepala manakala insiden kedua pada 4 Julai di pejabatnya dan ketiga, 18 Julai. Ketika itu suami sedar bahawa saya sedang mengandung.



"Saya dipukul dan diserang sehingga cedera serta lebam selain trauma kerana nyawa saya dan anak dalam kandungan terancam," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Rabu.

Akibat kejadian itu, Wong mendakwa, mengalami tekanan bukan saja dari segi fizikal tetapi mental.

"Saya mengalami tekanan selepas diberitahu oleh pegawai yang mengendalikan kes saya bahawa laporan saya masih dalam proses dan siasatan diteruskan.

"Namun saya kemudian diberitahu bahawa kertas siasatan dibuka terhadap saya di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan serta di bawah Ordinan Kesalahan Kecil Sabah di mana pertuduhan terhadap saya di mahkamah dan saya diikat jamin dengan jaminan polis.

"Isnin lalu, saya berhubung dengan seorang pegawai penyiasat dan bertanya mengenai proses kes saya namun dimaklumkan bahawa ia adalah satu proses memakan masa yang panjang dan mungkin dibawa ke Bukit Aman serta Putrajaya kerana melibatkan orang kenamaan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Sehubungan itu, Wong berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan segera terhadap laporan yang telah dibuat.

"Hanya kerana dia orang kenamaan, memegang jawatan tertinggi di kementerian tidak menjadikan dia 'istimewa'," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong yang hadir pada sidang akhbar itu berharap pihak berkuasa dapat mengambil perhatian kes berkenaan untuk dilakukan siasatan segera.

"Kami berharap kerajaan menyedari isu keganasan rumah tangga melibatkan pegawai tinggi mereka dan dapat membantu siasatan," katanya.