Lebih ramai lelaki muda dijangkiti penyakit kelamin

Zuraida
Zuraida
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Statistik dikeluarkan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapati golongan muda lelaki berusia lingkungan 18 hingga 24 tahun lebih ramai dijangkiti penyakit kelamin berbanding wanita.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor dalam sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Rabu.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri disaran memperkasakan lagi kempen kesedaran orang ramai untuk melakukan ujian saringan dan pencegahan penyakit penularan seksual seperti gonorrhoea.

"Saya berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang sentiasa menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran berkaitan penyakit-penyakit kelamin kepada masyarakat termasuk juga kepada guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi.

"Namun, antara isu dan kekangan yang sering dihadapi oleh pihak kesihatan ialah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, tidak boleh membuat saringan penyakit ini tanpa kebenaran ibu bapa.

"Bagi kanak-kanak pula, seringkali tidak mendapat kerjasama ibu bapa atau penjaga untuk membenarkan anak mereka disaring.

"Ini menyukarkan pihak berwajib memantau kes ini," katanya

Beliau berkata, beberapa tindakan boleh diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani permasalahan tersebut antaranya melibatkan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai jabatan penggerak dari sudut penerapan nilai agama kepada remaja seawal sekolah rendah atau sekolah menengah.

Artikel Berkaitan:

"Langkah lain ialah meningkatkan kerjasama dan penglibatan Unit Sukarelawan Kesihatan (MyChampion) dan Program Kesihatan Remaja di dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat.

"Penglibatan agensi-agensi berkaitan seperti Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Jabatan Penerangan untuk membantu menyebarkan info-info kesihatan berkaitan kesihatan seksual melalui media massa seperti Facebook, Tik Tok dan Instagram juga pasti lebih berkesan kerana capaian kepada remaja adalah lebih tinggi dan meluas," katanya.

Dalam pada itu, Zuraida turut menyentuh isu kesukaran golongan wanita untuk membuat pemeriksaan mamogram kerana kebanyakan pusat perubatan terletak di pusat bandar.

Katanya, keadaan itu menyukarkan golongan wanita yang tinggal di pedalaman atau luar bandar ekoran masalah pengangkutan, jarak yang jauh dan kos perjalanan yang besar menyebabkan golongan itu tidak bersungguh dan menangguh untuk membuat pemeriksaan mamogram.

"Saya ingin mencadangkan agar diluaskan lagi kaedah program pemeriksaan mamogram ini di kawasan luar bandar atau pedalaman dengan mengadakan kerjasama pihak hospital yang mempunyai peralatan pemeriksaan mamogram secara mobil atau secara bergerak kepada golongan wanita," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!