RUU GEG dibentang untuk bacaan kedua Selasa depan

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

PUTRAJAYA - Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) akan dibentangkan untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat, Selasa depan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia susulan keputusan jemaah menteri pada Rabu.

"Pembentangan bacaan kedua RUU di Parlimen adalah suatu bentuk komitmen berterusan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia dilindungi daripada bahaya produk merokok," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

RUU GEG telah dibentangkan untuk bacaan pertama pada 12 Jun lalu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.

Penelitian telah dibuat oleh ahli JKPK bagi memantapkan RUU ini supaya ia ini dapat dibincangkan, diteliti dan disokong oleh semua pihak (bipartisan).

Beberapa siri mesyuarat dan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan telah diadakan.

Menurutnya, beberapa syor yang dikemukakan oleh JKPK dan KKM menerima baik semua syor-syor yang dicadangkan tersebut.

"Oleh itu, KKM ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat termasuk ahli Parlimen, individu, ibu bapa, guru dan tokoh masyarakat bersama-sama memainkan peranan dan menyokong usaha KKM dalam membentangkan RUU ini dengan menyuarakan sokongan," katanya.

Artikel Berkaitan:

RUU berkenaan bertujuan mewujudkan GEG yang hanya akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Januari 2007.

Pada Ogos tahun lalu, Parlimen meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan.

Bagaimanapun, ia tidak dapat diteruskan berikutan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU).