Kedah jangka tarik pelaburan lebih RM20 bilion tahun ini

Kulim Hi-Tech Park - Foto Bernama
Kulim Hi-Tech Park - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah yakin mampu menarik pelaburan melebihi RM20 bilion untuk tahun ini.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Haim Hilman Abdullah berkata, jangkaan itu berdasarkan kepada prestasi cemerlang Kedah yang merekodkan nilai pelaburan RM14.6 bilion bagi separuh penggal tahun ini.

Menurutnya, tiga sektor utama yang menjadi penyumbang besar ialah sektor utama (primer), perkilangan dan perkhidmatan.

“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, keseluruhan pelaburan domestik adalah RM2.7 bilion dan pelaburan asing sebanyak RM11.9 bilion.

“Sektor perkilangan tertinggi dengan RM13.2 bilion iaitu pelaburan domestik RM1.4 bilion dan pelaburan asing RM11.9 bilion.

"Perkhidmatan pula RM1.3 bilion (domestik) dan RM26 juta (asing) sementara sektor primer sebanyak RM1.03 juta bagi pelaburan domestik,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Hanif Ghazali (Tanjung Dawai-Pas) berhubung prestasi pelaburan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Haim Hilman menjelaskan, kejayaan itu ditunjangi sikap keterbukaan Kedah yang memberikan komitmen tinggi bagi membolehkan Kulim menjadi destinasi pilihan utama pelabur wilayah Utara.

“Nilai pelaburan itu menjadikan Kedah berada di kedudukan ketiga tertinggi dalam senarai pelaburan negara dan kita akan terus berusaha selain kekal kompetitif,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Kedah menyumbang 11 peratus kepada keseluruhan pelaburan dalam negara membuktikan negeri itu berpotensi besar dalam sektor pelaburan.

“Kawasan industri yang menjadi pilihan pelabur Januari hingga Jun 2023 ialah Kulim Hi Tech Park (KHTP) sebanyak lima projek dengan jumlah pelaburan RM7.6 bilion.

"KHTP masih menjadi pilihan utama pelabur kerana adanya prasarana baik yang disediakan kerajaan Pusat mahupun negeri,” ujarnya.

Haim Hilman berkata, selain KHTP, Kulim menyumbang sebanyak RM4.2 bilion, diikuti Bakar Arang Industrial Park (RM223 juta). Sungai Petani Industrial Park (RM121 juta) serta Gurun sebanyak RM867 juta.

“Saya yakin sasaran pelaburan kita akan dicapai susulan sudah tiga kali melepasi sasaran pelaburan melebihi RM10 bilion yang ditetapkan bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah 2035).

“Antara faktor penarik ialah Kedah mempunyai kelebihan nilai tanah yang lebih murah berbanding negeri jiran, yang mana menarik limpahan dari Pulau Pinang ke negeri ini.

“Kawasan perindustrian KHTP pula dikelola dengan baik oleh Kulim Technology Park Corporation (KTPC) yang bertindak sebagai Park Manager, konsep terkehadapan berbanding negeri lain dan menjadi benchmark kejayaan menguruskan zon industri,” katanya lagi.

Menurutnya, faktor lain termasuk komitmen majlis perbandaran khususnya KHTP yang menggunakan pendekatan teknologi dan ia harus dicontohi oleh zon industri lain.

“Ia turut disumbangkan oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang bersikap terbuka dan bersaing secara kompetitif.

"Saya yakin Kedah boleh lebih berjaya dengan sikap pimpinannya yang telus selain kerjasama erat dengan agensi kerajaan dalam menarik lebih ramai pelabur,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Hanif sama ada terdapat halangan daripada kerajaan Persekutuan menghalang pelabur ke Kedah, Haim Hilman tegaskan, kerajaan Persekutuan khususnya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memberi komitmen tinggi memajukan pembangunan pelaburan di negeri ini tanpa mengira perbezaan politik.

Dalam pada itu, Haim Hilman berkata, anak Kedah akan diberikan keutamaan dalam mengisi 34,000 peluang pekerjaan yang dijana hasil daripada pelaburan.

“Tenaga buruh kalangan anak Kedah menjadi keutamaan kita agar rakyat mendapat manfaat limpahan ekonomi, namun kita bersikap terbuka seperti negeri lain yang menerima anak Kedah bekerja di negeri mereka.

“Kita akan berusaha tingkatkan peratusan anak Kedah yang bekerja di negeri ini termasuk menawarkan tempat kepada anak Kedah yang berada di luar Kedah, khususnya yang miliki pengalaman dalam sektor industri,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Tokai-Pas) berkaitan tenaga buruh.

Menurutnya, kerajaan negeri akan berusaha mengangkat pembangunan sumber manusia negeri ke tahap lebih tinggi menerusi pelbagai inisiatif.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!