Perak jangka tarik 1,000 syarikat halal menjelang 2030

Saarani (empat dari kanan) menyampaikan Sijil Profesional Eksekutif Halal HDC kepada penerima ketika merasmikan Jelajah Halal Malaysia 2023 Negeri Perak pada Isnin.
Saarani (empat dari kanan) menyampaikan Sijil Profesional Eksekutif Halal HDC kepada penerima ketika merasmikan Jelajah Halal Malaysia 2023 Negeri Perak pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menjangkakan lebih 1,000 syarikat yang mempunyai pensijilan halal akan bertapak di negeri ini menjelang tahun 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sehingga Mac 2023 terdapat sebanyak 882 syarikat pemegang sijil halal beroperasi di negeri ini daripada 10,000 syarikat di seluruh negara.

Menurutnya, perkembangan tersebut dilihat sangat signifikan dan selari dengan sasaran kerajaan negeri untuk meningkatkan jumlah usahawan yang mengeluarkan produk berstatus halal.

"Kita dari masa ke masa kita akan tingkatkan bilangan itu dan jika boleh melepasi 1,000 syarikat, ia satu pencapaian yang besar kepada negeri Perak. Kita harap dapat membimbing usahawan-usahawan muda dan mereka juga akan memberikan motivasi kepada rakan-rakan lebih muda daripada mereka.

"Selain mengekalkan pemegang sijil halal sedia ada, kita dapat menambah bilangan jumlah itu. Difahamkan JAIPk (Jabatan Agama Islam Perak) sedang memproses 300 permohonan pensijilan halal ketika ini," kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Halal Malaysia 2023 Negeri Perak di sebuah hotel dekat sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Khairul Azwan Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffien Sahari.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berkata, pelancaran Taman Perindustrian Halal (HIP) Perak di Lekir pada 21 Ogos lalu merupakan langkah strategik kerajaan negeri dalam memacu perkembangan industri halal yang semakin penting di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pada masa sama ia dapat menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat negeri Perak selain komitmen kerajaan negeri dalam menyokong inisiatif-inisiatif pembangunan industri halal yang dilaksanakan bagi menghasilkan lebih ramai usahawan halal di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Khairul Azwan berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui HDC bersetuju membantu kerajaan negeri untuk memulakan pembinaan HIP.

"Kita telah mendapat lampu hijau daripada MITI untuk bekerjasama dan membantu membangunkan HIP tersebut. HDC memang menjadi pusat sehenti untuk menguruskan HIP di seluruh negara, jadi itu komitmen kita.

"Perak juga kaya dengan sumber asli, hasil hutan dan hasil laut yang berpotensi besar di peringkat global dalam menghasilkan ramuan untuk sektor farmaseutikal, kosmetik termasuk peranti perubatan. HDC akan sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri bagi meneroka sektor strategik atau sub sektor strategik untuk dipelopori dan dibangunkan bersama," katanya.

Pada majlis berkenaan turut diadakan Majlis Penyampaian Sijil Profesional Eksekutif Halal HDC dengan kerjasama Felcra Education Services Sdn Bhd selain mengumumkan kerjasama strategik di antara HDC dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) bagi penganjuran Program Sijil Profesional Eksekutif Halal.