Tambah baik dasar tarik pelaburan berimpak tinggi - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri dalam proses menambahbaik Garis Panduan Pembangunan Industri Negeri Terengganu 2004-2008 kepada Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2024-2030.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penambahbaikan itu dilakukan berdasarkan keadaan ekonomi semasa dan akan datang.

"Kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan lktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai agensi yang telah dilantik untuk menguruskan kawasan perindustrian Terengganu akan menawarkan beberapa insentif kepada pelabur.

"Pertama, pemberian harga diskaun berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan perkhidmatan Harta dan bergantung kepada keadaan tapak industri yang ditawarkan.

"Kedua, pembayaran pajakan tanah secara berjadual bagi membantu pelabur untuk merancang dan dapat merealisasikan pelaburan yang dicadangkan dengan lebih lancar. Ketiga, penyediaan infrastruktur asas yang diperlukan atau pengurangan daripada tawaran harga pajakan bagi meringankan pelabur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ir Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) yang ingin tahu apakah polisi dan insentif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri untuk menarik minat pelabur dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Rabu.

Menurut Ahmad Samsuri, matlamat Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu Baharu akan memberi fokus kepada meningkatkan pelaburan domestik dan pelaburan asing, menawarkan peluang dan ruang kepada pelabur yang berpotensi bagi semua perindustrian berkonsepkan mesra pelabur dan penerokaan perindustrian baru.

Jelas beliau, dasar itu juga dirangka bagi menarik pelaburan berimpak tinggi selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) dan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, pelaksanaan proses penilaian dan kelulusan akan dibantu supaya turut memberi jaringan alternatif supaya sesuatu projek dapat dilaksanakan.

"Jadi bukan lah setakat kita memberi jawapan ‘Yes or No’ kepada pelabur. Tetapi, kita cuba 'guide', bantu, tunjuk ajar untuk memastikan projek itu dapat dilaksanakan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Saiful Azmi mengenai kaedah dilaksanakan kerajaan bagi memastikan proses permohonan, penilaian dan kelulusan setiap pelaburan yang ingin masuk ke dalam Terengganu itu lebih mesra pelabur.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri tidak menafikan wujud keperluan bagi memproses, menilai dan membuat keputusan terhadap setiap cadangan pelaburan itu dengan penuh cermat dan teliti untuk membezakan di antara pelabur yang sebenar dan pelabur yang hanya menjadi broker ataupun di atas tujuan lain.

"Kerap kali juga, apa yang berlaku ialah kelewatan berpunca daripada kelemahan pihak pelabur yang tidak dapat menyediakan maklumat sokongan yang diperlukan dan tidak memenuhi keperluan atau lampiran tidak lengkap, isi borang tak lengkap, lampiran pun tak lengkap, ada sesetengah itu dana pun belum ada lagi. Tertakluk kepada pihak berkuasa kerajaan, baru nak cari dana atas sebab-sebab yang lain.

"Kita juga tak nafikan bahawa terdapat kelemahan dari pihak kerajaan, agensi-agensi pelaksana dan ini sedang diuruskan oleh kerajaan secara proaktif di mana kerajaan telah menubuhkan Pasukan Khas atau Special Task Force (fast lane) bagi membantu para pelabur sebagai pemudahcara permohonan tanah atau kelulusan dengan agensi teknikal yang lain," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!