Pemberontak etnik minoriti rampas sempadan Myanmar-China

Tentera Myanmar menerima rawatan selepas bertempur dengan pemberontak di bandar Loikaw, Myanmar. - Agensi
Tentera Myanmar menerima rawatan selepas bertempur dengan pemberontak di bandar Loikaw, Myanmar. - Agensi
A
A
A

BANGKOK - Kumpulan bersenjata etnik minoriti di Myanmar telah merampas kawalan wilayah yang bersempadan dengan China daripada kerajaan, kata media tempatan dan sumber keselamatan Ahad.

Pertempuran telah berlaku di seluruh negeri Shan utara Myanmar, berhampiran dengan sempadan China, selepas pakatan bersenjata terdiri daripada tiga kumpulan etnik minoriti melancarkan serangan terhadap tentera sejak Oktober lalu.

Kumpulan itu telah merampas puluhan pos kawalan tentera dan sebuah bandar penting untuk perdagangan dengan China.

Media tempatan berkata, serangan oleh Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA), salah satu daripada tiga kumpulan bersekutu telah menawan pintu sempadan Kyin San Kyawt.

"MNDAA juga melaporkan mereka merampas satu lagi pintu perdagangan sempadan, yang dipanggil Kyin San Kyawt yang terletak di kawasan Mongko, daerah Muse pada pagi Ahad," lapor berita Kokang.

Tambahnya, perikatan termasuk Tentera Arakan (AA) dan Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang (TNLA) telah mengambil kedudukan lain di zon perdagangan sempadan selepas serangan bermula pada Jumaat lalu.

Menurut sumber keselamatan memberitahu AFP, MNDAA telah menaikkan benderanya di zon perdagangan sempadan di Kyin San Kyawt.

Difahamkan, pintu sempadan itu dibuka semula pada 2022 selepas wabak Covid-19 dan merupakan titik perdagangan utama di sepanjang sempadan Myanmar-China.

Artikel Berkaitan:

Awal minggu ini, jurucakap junta Zaw Min Tun memberitahu media kerajaan bahawa kira-kira 120 trak yang diletakkan berhampiran persimpangan sempadan telah terbakar dan menyalahkan kumpulan bersenjata tersebut.

Peningkatan dalam pertempuran telah menjejaskan ekonomi Myanmar yang semakin meleset sehingga merosakkan perdagangan rentas sempadan yang penting.

Laporan tempatan mengatakan barangan yang melalui persimpangan Kyin San Kyawt termasuk jentera, peralatan elektrik, traktor pertanian dan barangan pengguna. - AFP