Pertempuran bagai 'buku bertemu ruas'

Mazlan menyifatkan pertempuran menumpaskan pencerobohan Lahad Datu merupakan operasi paling mencabar pernah dihadapi sepanjang tempoh perkhidmatan.
Mazlan menyifatkan pertempuran menumpaskan pencerobohan Lahad Datu merupakan operasi paling mencabar pernah dihadapi sepanjang tempoh perkhidmatan.
A
A
A

IPOH - Tembakan tanpa henti ibarat hujan peluru, kekal menjadi pengalaman sukar dilupakan ketika mempertahankan tanah air dalam tragedi berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Meskipun telah 10 tahun berlalu, peristiwa serangan pengganas Sulu itu masih segar dalam ingatan Komander Skuadron Delta 69 Komando, Deputi Superintenden Mazlan Mohamed yang menyertai sektor Charlie pada 1 Mac 2013.

Beliau berkata, pertempuran di sebuah ladang kelapa sawit, lokasi yang agak jauh dari penempatan awam itu diibaratkan tidak ubah seperti buku bertemu ruas.

Mazlan
Mazlan

"Keadaan muka bumi di ladang itu menjadikan tiada ruang yang cukup untuk berselindung, mata bertemu mata, memang kelihatan jelas kedudukan musuh, tetapi dalam masa sama, pasukan kita juga jelas di mata mereka.

"Keadaan ini menjadikan masing-masing cuba mengambil peluang melepaskan tembakan antara satu pihak dengan pihak lain.

"Apabila berlaku sahaja dentuman pertama, suasana yang sebelum itu sunyi terus bertukar dengan bunyi tembakan, kami saling berbalas tembakan bertali arus dan berterusan dalam tempoh agak lama," katanya dalam wawancara dokumentari khas bersama Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Sebagai komando, mereka didedahkan dengan pelbagai konsep pertempuran termasuklah pertempuran di kawasan hutan semula jadi atau hutan terbina.
Sebagai komando, mereka didedahkan dengan pelbagai konsep pertempuran termasuklah pertempuran di kawasan hutan semula jadi atau hutan terbina.

Mazlan, 44, yang pertama kali berkongsi pengalaman dalam pertempuran itu, turut menjadi saksi gugurnya perwira negara, Allahyarham Zulkifli Mamat akibat terkena tembakan musuh.

Katanya, Allahyarham Zulkifli yang mesra disapa Mat Ju, ketika itu berselindung di posisi yang sama sepertinya dengan keadaan siap sedia untuk menembak.

"Saya masih ingat lagi, ada dua musuh di hadapan sedang berjalan, seorang berbaju putih dan seorang lagi berbaju ungu.

"Saya nampak arwah keluarkan sedikit kepalanya untuk menembak, tetapi sedetik selepas arwah lepaskan tembakan, jeritan ALLAH kedengaran, rupanya itu jeritan dan suara arwah.

"Satu peluru tepat mengenai bahagian mata arwah dan arwah rebah ke bumi," katanya.

Anak kelahiran Kelantan yang mula menyertai 69 Komando pada 2004 itu mengakui, pertempuran menumpaskan pencerobohan Lahad Datu merupakan operasi paling mencabar pernah dihadapi sepanjang tempoh perkhidmatan.

Ujar Mazlan, pada permulaan, timbul rasa terkejut dan tergamam kerana tidak menyangka pertempuran yang berlaku membawa kepada pertumpahan darah, lebih dahsyat berbanding operasi disertai sebelum ini.

Bagaimanapun, semangat keperwiraan mempertahankan kedaulatan tanah air timbul, membuatkan dirinya bersama semua anggota pasukan bertahan dan terus mara dalam pertempuran itu.

"Jujurnya sampai hari ini, saya mahu merasakan pertempuran itu sebagai satu mimpi, tetapi itulah realiti dan itulah yang berlaku," katanya.

Mazlan (tengah) sebagai Komander Skuadron Delta 69 Komando.
Mazlan (tengah) sebagai Komander Skuadron Delta 69 Komando.

Pada Februari 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, yang membawa kepada pertempuran 1 Mac di Kampung Tanduo.

Pencerobohan itu mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh dan menyebabkan kematian 56 pengganas dan enam orang awam. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

Tegas Mazlan, menangani krisis dan keganasan yang kritikal, tidak cukup dengan hanya kepakaran dan ketangkasan di medan tempur, sebaliknya dalaman dan spiritual seorang komando juga perlu jitu dan mempunyai daya juang yang tinggi.

Katanya, selain latihan kemahiran tinggi yang dijalani, pemantapan modal insan juga perlu dititikberatkan untuk melahirkan warga komando yang mantap dari segala segi.

Sebagai komando, mereka didedahkan dengan pelbagai konsep pertempuran iaitu pertempuran di kawasan hutan semula jadi atau hutan terbina, Fighting In Build Up Area (FIBUA), Fighting In Wet Land Area (FIWLA) dan Sea Combat (SEACOM).

Begitu juga lain-lain kemahiran sokongan bagi membolehkan kesiapsiagaan Truper 69 Komando sentiasa berada pada tahap yang tertinggi khususnya ketika menyertai operasi khas.

Latihan pertempuran Fighting In Build Up Area (FIBUA) membolehkan kesiapsiagaan Truper 69 Komando sentiasa berada pada tertinggi ketika menyertai operasi khas.
Latihan pertempuran Fighting In Build Up Area (FIBUA) membolehkan kesiapsiagaan Truper 69 Komando sentiasa berada pada tertinggi ketika menyertai operasi khas.

"Segalanya mengenai komando tiada yang mesra, tidak ada yang lembut, semuanya keras untuk membentuk jati diri kita berubah dari anggota polis ke satu tahap lain iaitu pasukan khas.

"Kita rasa kita cukup kuat berlawan dari segi fizikal, tetapi dalaman kita lemah, tak cukup sebenarnya. Jadi kita kena seimbangkannya dan sebagai Muslim, kita tahu apa tanggungjawab kita dengan ALLAH, kena sentiasa ingat perkara itu," katanya.

69 Komando ditubuhkan pada 23 Oktober 1969 dan merupakan pasukan komando kedua dalam negara selepas Grup Gerak Khas Tentera Darat.

Saksikan dokumentari eksklusif mengisahkan perjuangan Pasukan Gerakan Khas 69 Komando atau VAT69 pada 26 November 2023 (Ahad) jam 9.30 malam di semua platform digital Sinar Harian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!