Pergolakan di Laukkaing, Myanmar: 127 rakyat Malaysia di lokasi selamat

Zambry - Foto: Bernama
Zambry - Foto: Bernama
A
A
A

SEPANG - Sehingga kini 127 rakyat Malaysia yang dikenal pasti terkandas di Laukkaing, utara Myanmar ekoran pergolakan di wilayah berkenaan, berada di lokasi selamat di Myanmar, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, Wisma Putra sedang menyelaras persiapan logistik untuk membawa mereka pulang ke tanah air, sementara menunggu arahan daripada pihak berkuasa Myanmar, dan berdasarkan perancangan awal kesemua mereka dijadual akan dibawa pulang pada 30 November ini.

Selain kerjasama Myanmar, usaha membawa rakyat Malaysia keluar dari kawasan berkenaan turut memerlukan kerjasama pihak berkuasa China dan Zambry menzahirkan ucapan terima kasih kepada kedua-dua negara berkenaan yang memberikan kerjasama baik.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini berhubung perkembangan terkini usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di negara berkenaan.

Wisma Putra sebelum ini memaklumkan bahawa 109 orang warganegara Malaysia dilaporkan terkandas di Laukkaing susulan pergolakan yang berlaku di wilayah itu dan kebanyakan mereka dipercayai adalah mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

Zambry berkata, Wisma Putra turut membantu dalam usaha membawa keluar dua warganegara lain iaitu Indonesia dan Hong Kong dari kawasan berkenaan.

Sementara itu, Zambri berkata, beliau akan menyuarakan komitmen Malaysia mempertahankan hak Palestin pada mesyuarat plenari di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) esok dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 29 Nov ini di New York, Amerika Syarikat.

"Saya akan bawa mesej peperangan di bumi Gaza perlu dihentikan dan pembunuhan tidak berprikemanusiaan perlu dihentikan segera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Gencatan senjata selama empat hari telah diisytiharkan di kawasan berkonflik Israel-Palestin di Gaza bermula 24 Nov lepas, dan disusuli dengan pertukaran tebusan dan tahanan.

Pertempuran di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas telah mengakibatkan kehilangan belasan ribu nyawa. - Bernama