Cerun runtuh Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang siap lebih awal

Alexander (tiga dari kiri) diberi taklimat berkenaan kerja pembaikan cerun yang runtuh dalam lawatannya pada Ahad.
Alexander (tiga dari kiri) diberi taklimat berkenaan kerja pembaikan cerun yang runtuh dalam lawatannya pada Ahad.
A
A
A

BALIK PULAU - Kerja-kerja memperbaiki cerun runtuh di Jalan Balik Pulau yang menghubungkan Teluk Bahang telah siap sepenuhnya bagi kegunaan orang awam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja pembinaan di tapak telah siap sepenuhnya pada 6 November lalu iaitu 51 hari lebih awal daripada tarikh asal iaitu 26 Disember.

Menurutnya, terdapat dua lokasi tanah runtuh iaitu di Seksyen 46.8 dan Seksyen 45.4 yang melibatkan kos keseluruhan RM1.8 juta.

"Sebelum ini, laluan terjejas membabitkan jarak sejauh kira-kira tiga kilometer ditutup sepenuhnya kepada pengguna semua jenis kenderaan. Ia telah runtuh berpunca daripada hujan lebat berterusan pada 10 Julai lalu.

"Kerja-kerja membaiki di tapak telah dijalankan yang mana, kerja pembaikan cerun ini menggunakan kaedah 'tie back wall' manakala kerja pembinaan sistem saliran menggunakan jenis 'cascade and toe drain'.

"Kos semasa untuk Seksyen 46.8 adalah RM1.07 juta manakala Seksyen 45.4 pula sebanyak RM726,000," katanya selepas meninjau hasil kerja pembaikan pada Ahad.

Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool dan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari.

Artikel Berkaitan:

Alexander (tiga dari kanan) menyerahkan 'goodies bag' kepada pengguna jalan raya ketika meninjau hasil kerja pembaikan di Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang pada Ahad.
Alexander (tiga dari kanan) menyerahkan 'goodies bag' kepada pengguna jalan raya ketika meninjau hasil kerja pembaikan di Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang pada Ahad.

Beliau berkata, difahamkan terdapat beberapa lokasi berdekatan yang perlu dipantau berikutan ia dilihat berisiko sekiranya tidak diambil tindakan sewajarnya.

"Kita sudah setuju untuk peruntukkan tahun hadapan dan akan buat langkah pencegahan di beberapa lokasi berisiko yang telah dikenal pasti.

"Projek ini penting kerana di dalam jajaran yang bukan sekadar untuk kegunaan harian penduduk setempat malah digunakan oleh ramai pelancong.

"Dari segi implikasi aktiviti ekonomi dan keperluan penduduk setempat, kita perlu buat dan siap dengan segera," katanya.

Sebelum ini, sebahagian Jalan Mengelilingi Balik Pulau-Teluk Bahang ditutup kepada orang awam dan semua kenderaan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, penutupan sebahagian laluan itu dilakukan susulan kejadian cerun runtuh.

Bagaimanapun, katanya, penghuni dan pekebun yang tinggal di kawasan itu dibenarkan menggunakan laluan terbabit.