Perantau Kelantan sanggup mohon cuti, gerak awal balik mengundi

Wan Muhammad Azaharhafiz Wan Yazid, Yahya Mat Seman, dan Zaliha Othman
Wan Muhammad Azaharhafiz Wan Yazid, Yahya Mat Seman, dan Zaliha Othman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sanggup memohon cuti tahunan dan bergerak awal pagi semata-mata untuk pulang mengundi antara bukti kesungguhan rakyat Malaysia bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Wan Muhammad Azaharhafiz Wan Yazid, 37 yang berkhidmat sebagai anggota bomba di Rompin, Pahang berkata, dia memandu lebih tujuh jam untuk balik mengundi di Pasir Mas, Kelantan.

"Saya berhenti rehat sekejap di tepi susur keluar dari Plaza Tol Gemuruh, Kuala Terengganu sebelum teruskan perjalanan ke Pasir Mas. Perasaan itu sangat gembira kerana ia merupakan pertama kali saya balik mengundi untuk PRN.

"Sebelum ini saya hanya undi pos. Jadi kali ini saya ambil cuti tahunan sebab nak rasai pengalaman balik mengundi di kampung halaman," katanya ketika ditemui Sinar Harian di di tepi susur keluar dari Plaza Tol Gemuruh di sini pada Jumaat.

Berkongsi nada sama, Yahya Mat Seman, 30 yang bekerja di Pekan, Pahang turut memanfaatkan cuti tahunan untuk balik mengundi di Jeli, Kelantan kerana sedar akan tanggungjawab dalam menyumbang untuk pembentukan kerajaan negeri lebih baik nanti.

"Ini pertama kali sebab sebelum ini hanya undi pos. Jadi buat keputusan ambil cuti tahunan pada kali ini.

"Saya sangat seronok dan teruja kerana ada peluang balik mengundi," ujarnya.

Bagi seorang penjawat awam, Zaliha Othman, 49 berkata dia balik mengundi di Tanah Merah, Kelantan untuk kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Ini kali kedua balik mengundi. Saya bersama ahli keluarga bergerak awal pagi dari Simpang Renggam, Johor untuk elak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

"Lebih mengharukan abang saya, Rosdi Othman, dari Serdang, Selangor sanggup datang ambil saya dan juga ibu kami di Simpang Renggam untuk balik mengundi ke Tanah Merah.

"Kami semua rasa teruja nak balik untuk mengundi. Kami berehat sekejap di tepi susur keluar dari Plaza Tol Gemuruh selama 15 hingga 20 minit sebelum teruskan perjalanan," ujarnya.

Tinjauan dilakukan Sinar Harian di tepi susur keluar dari Plaza Tol Gemuruh, di sini setakat 4 petang tadi mendapati masih lancar.
Tinjauan dilakukan Sinar Harian di tepi susur keluar dari Plaza Tol Gemuruh, di sini setakat 4 petang tadi mendapati masih lancar.

Sementara itu, tinjauan dilakukan Sinar Harian di tepi susur keluar dari Plaza Tol Gemuruh, di sini setakat 4 petang tadi mendapati masih lancar meskipun berlaku pertambahan kenderaan.

Esok, 12 Ogos adalah hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Turut diadakan serentak adalah PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.