Tanah runtuh: Jalan hubungan 4 kampung Orang Asli kini boleh dilalui

Laluan yang menghubungkan empat perkampungan Orang Asli di Pos Hendrop kini boleh dilalui selepas runtuhan tanah yang berlaku pada Ahad dibersihkan. - Foto: Orang awam
Laluan yang menghubungkan empat perkampungan Orang Asli di Pos Hendrop kini boleh dilalui selepas runtuhan tanah yang berlaku pada Ahad dibersihkan. - Foto: Orang awam
A
A
A

GUA MUSANG - Jalan menghubungkan empat perkampungan Orang Asli di Pos Hendrop di sini kini boleh dilalui selepas runtuhan tanah yang berlaku semalam dibersihkan.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memaklumkan, bagaimanapun jalan yang menghubungkan empat kampung dengan bandar Gua Musang itu hanya dibuka satu lorong kepada kenderaan.

Menurut kenyataan itu, JAKOA Kelantan dan Terengganu menerima laporan daripada penduduk kampung dan beberapa portal akhbar tempatan berkenaan jalan runtuh di laluan berkenaan.

"Memandangkan jalan tersebut berdaftar di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan berada di bawah pemantauan Pejabat Tanah serta Jajahan Kecil Lojing, pihak JAKOA Kelantan dan Terengganu telah berhubung dengan Penolong Ketua Jajahan berkenaan.

"Beliau (Penolong Ketua Jajahan Kecil Lojing) menyatakan bahawa runtuhan telah dibersihkan, namun hanya separuh daripada runtuhan dapat dibersihkan terlebih dahulu kerana bimbang akan berlakunya runtuhan susulan,” menurut JAKOA menerusi kenyataan hari ini.

Menurut JAKOA, pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing juga memaklumkan bahawa pembersihan berkenaan adalah bersifat sementara, malah tindakan lanjut diusahakan segera bagi kemudahan serta keselamatan penduduk Orang Asli yang terjejas.

"JAKOA akan terus menghulurkan bantuan dari segi aspek sosial dan kebajikan sebagaimana skop penugasan yang ditetapkan menggunakan peruntukan yang disalur oleh kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, lebih 20 keluarga Orang Asli suku kaum Temiar membabitkan penduduk Kampung Hanir, Kampung Gere, Kampung Perlug dan Kampung Tuel di Pos Hendrop terputus hubungan akibat tanah runtuh di laluan utama ke perkampungan mereka.

Artikel Berkaitan:

Berikutan kejadian itu, penduduk terjejas untuk melakukan aktiviti seharian, malah penjaja juga tidak dapat masuk ke penempatan mereka. - Bernama