K-Lit lancar dua novel kisah benar berjudul Skuad Taring Nusa, Koyak

Aini dan Muhaymin bersama hasil karya masing-masing.
Aini dan Muhaymin bersama hasil karya masing-masing.
A
A
A

SHAH ALAM - Karangkraf Literature (K-Lit) melancarkan dua novel baharu berjudul Skuad Taring Nusa dan Koyak yang diinspirasikan daripada kisah benar peperangan melawan pengganas merentas sempadan.

Penulis Skuad Taring Nusa, Muhaymin Wahab berkata, mesej penting yang ingin disampaikan menerusi penulisan itu ialah mengangkat imej pasukan keselamatan dan menyuburkan semangat patriotisme serta cintakan negara.

“Saya jadikan insiden dan peristiwa sebenar yang berlaku sebagai inspirasi. Contohnya, pengeboman kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada 1998 dan juga operasi memberkas bekas pemimpin al-Qaeda, Osama Bin Laden.

“Pengalaman saya semasa bertugas sebagai pegawai awam di bawah Kementerian Pertahanan di Mindanao juga menjadi rujukan semasa menulis novel ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Majlis pelancaran novel berkenaan diadakan secara siaran langsung di TikTok dan Shopee pada Majlis Pra-Tempah Buku K-Lit pada Khamis.

Novel baharu berjudul Skuad Taring Nusa dan Koyak yang diinspirasikan daripada kisah benar peperangan melawan pengganas merentas sempadan.
Novel baharu berjudul Skuad Taring Nusa dan Koyak yang diinspirasikan daripada kisah benar peperangan melawan pengganas merentas sempadan.

Penulis novel Koyak, Aini Bakar berkata, ia mengisahkan lima anak muda penggodam alam maya yang mahu menegakkan kebenaran bagi membongkar jenayah korporat melibatkan tokoh masyarakat.

“Ada beberapa isu semasa saya sentuh dalam buku ini. Antaranya, perihal pempengaruh dengan persona berbeza di dunia nyata dan maya termasuk naratif media sosial yang mudah dimanipulasi serta dipengaruhi.

Artikel Berkaitan:

“Ia tentang dilema kita sebagai masyarakat pada era teknologi, maklumat di hujung jari tetapi kesahihannya belum pasti.

"Saya juga nak sampaikan bahawa kebenaran tidak akan kalah kepada kebatilan dan orang zalim pasti mendapat balasan pada akhirnya,” ujarnya.

Sementara itu, Eksekutif R&D Grup Buku Karangkraf, Siti Nur Fatihah Abdullah Rani berkata, pihaknya turut menawarkan hadiah, penghantaran percuma termasuk tanda tangan eksklusif penulis menerusi pembelian novel berkenaan.

“Orang ramai boleh dapatkan kedua-dua buku berharga RM29 ini di semua platform pembelian di Karangkraf Mall termasuk laman sesawang, Shopee dan Kedai Tiktok Karangkraf.

“Kita juga akan menyertai Selangor International Book Fair (ISBF) pada 2 Disember ini. Bagi mereka yang mahukan tanda tangan eksklusif penulis, boleh bertemu mereka pada jam 2 petang di reruai Karangkraf,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!