Projek terowong dasar laut dipertimbang selepas NBCT dimuktamad

Zairil
Zairil
A
A
A

GEORGE TOWN - Pelaksanaan projek terowong dasar laut akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Pulau Pinang setelah Pelan Induk Pembesaran Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dimuktamadkan pada Disember tahun ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, berdasarkan ulasan oleh SPPP yang diterima, kelebaran kawasan navigasi kapal di kawasan perairan di sebelah utara pelabuhan selebar 2.2 kilometer (km) perlu dikekalkan bagi memastikan ruang navigasi selamat untuk pergerakan kapal.

"Dengan terdapatnya trend ke arah pembinaan kapal yang lebih besar dan saiz kapal yang optimum antara 13,000 unit bersamaan 20 kaki hingga 15,000 'twenty-foot equivalent unit' (TEU) untuk memasuki atau singgah di pelabuhan, kapal-kapal ini dijangkakan mempunyai sarat air (draft) maksimum sebanyak 16 meter.

"Sementara kedalaman minimum untuk laluan selamat bagi kapal-kapal bersaiz ini adalah 23 meter dari aras dasar laut.

"Oleh yang demikian, antara pertimbangan projek Terowong Dasar Laut ini adalah kedudukan jajaran terowong agar tidak menjadi gangguan atau halangan kepada pemanjangan dermaga tambahan," katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Khamis.

Projek terowong sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan salah satu projek yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.

Bagaimanapun, kos bagi projek terowong termasuk projek tiga jalan utama iaitu Tanjung Bungah-Teluk Bahang (pakej pertama), Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu-Bandar Baru Farlim, Air Itam (pakej dua) dan Jalan Pankor- Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (pakej ketiga) hanya bernilai RM6.34 bilion.

Dalam perkembangan lain, Zairil berkata, ketika ini, kadar penembusan jalur lebar mudah alih di Pulau Pinang telah mencatatkan peningkatan sebanyak 169 peratus melebihi kadar nasional 133.3 peratus.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) pula adalah sebanyak 58.6 peratus melebihi kadar penembusan jalur lebar nasional 49.1 peratus.

"Kelajuan jalur lebar mudah alih di Pulau Pinang adalah sebanyak 51.74Mbps berbanding kelajuan nasional 48.1Mbps. Bagi peratusan liputan internet rangkaian 4G, sehingga bulan Oktober tahun ini, liputan internet di kawasan berpenduduk Pulau Pinang adalah sebanyak 99.85 peratus.

"Kadar liputan ini telah melepasi sasaran nasional iaitu sebanyak 96.96 peratus menjelang penghujung tahun 2023. Kerajaan negeri dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang berusaha bagi menyelesaikan masalah liputan 4G yang masih kurang memuaskan di beberapa kawasan di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Tambahnya, sebanyak 116 struktur pemancar baharu telah siap dibina dan beroperasi serta 2,044 pemancar sedia ada telah siap dinaiktaraf ke rangkaian 4G.

"Kerja-kerja menambah baik liputan masih lagi diteruskan bagi memastikan liputan 4G dapat memenuhi keperluan penduduk terutama di kawasan luar bandar dan kampung," katanya.