Perak akhirnya jual air ke Pulau Pinang

Saarani
Saarani
A
A
A

MANJUNG - Kerajaan Perak memutuskan untuk menjual air terawat ke Pulau Pinang setelah perbincangan dibuat di antara kedua-dua negeri mencapai kata sepakat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, minggu lalu Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim bersama SUK Pulau Pinang, Datuk Rosli Isa telah mengadakan perjumpaan pertama bagi membincangkan penjualan air tersebut.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana kerajaan negeri memang berhasrat untuk memindahkan air ke utara Perak melalui pembinaan loji rawatan air baharu bagi menyelesaikan masalah pengairan pertanian di kawasan berkenaan.

"Kita telah maklumkan bahawa kerajaan Perak dan kerajaan Pulau Pinang telah mencapai kata persetujuan iaitu Perak akan membekalkan air terawat ke Pulau Pinang, bukan air mentah.

"Kedua-dua negeri telah bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama dan kedua-duanya nanti akan mengemukakan permohonan kepada kementerian berkaitan peruntukan yang secukupnya bagi kita membina loji rawatan air di Perak untuk tujuan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program One Stop Centre (OSC), Sejahtera Sosial Negeri Perak di Dewan Merdeka, Seri Manjung di sini pada Sabtu.

Saarani berkata, keputusan itu juga dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cadangan pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian, yang memerlukan bekalan air mencukupi untuk memenuhi permintaan industri di kawasan tersebut.

Media pada 8 November lalu melaporkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan isu berkaitan bekalan air antara Pulau Pinang dan Perak memasuki fasa perbincangan yang positif pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow turut mengesahkan bahawa terdapat perkembangan positif meskipun isu terbabit telah berlanjutan selama beberapa tahun dan beliau pernah berjumpa dua Menteri Besar Perak dan dua menteri berkaitan.