8.85 peratus usahawan gulung tikar pada April 2020 akibat Covid-19

Ewon Benedick pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
Ewon Benedick pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 8.85 peratus usahawan telah gulung tikar pada April 2020 selepas terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kenaikan harga barangan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, berdasarkan data kaji selidik yang dilaksanakan oleh kementeriannya bagi 2020 sehingga 2022, kesan pandemik dan kenaikan harga barangan telah menyebabkan sebilangan kecil usahawan terpaksa menutup terus operasi perniagaan mereka.

Menurut Ewon, kaji selidik itu turut menyatakan 3.16 peratus usahawan telah gulung tikar pada Jun 2021, diikuti dengan 1.38 peratus pada Februari 2022 dan 2.7 peratus pada November 2022.

"Dalam usaha membantu usahawan yang terjejas, Kuskop menerusi agensi di bawahnya telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memulihkan semula perniagaan dengan menyediakan bantuan pinjaman kewangan antaranya skim pembiayaan di bawah Tekun Nasional dan Skim Pembiayaan Ikhtiar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"Agensi pembiaya di bawah Kuskop juga telah mempermudahkan proses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan dan memendekkan tempoh masa memproses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan dan memendekkan tempoh masa memproses permohonan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta kementerian menyatakan jumlah usahawan yang gulung tikar ekoran kelembapan ekonomi semasa dan usaha yang dilaksanakan untuk membantu usahawan terjejas.

Selain itu, Ewon berkata, Kuskop dan agensi di bawahnya bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pelaksanaan program intervensi peluang kedua bagi membantu usahawan yang berdepan dengan masalah pengurusan kewangan yang serius dan berisiko muflis.

Menurut Ewon, pada 2022, seramai 664 orang usahawan telah diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah tersebut, seramai 40 usahawan telah dipilih untuk mengikuti Program Bimbingan Khas Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) selama empat bulan bermula 17 Okt 2022, katanya.

Beliau berkata, SME Corp juga telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan AKPK pada 3 Feb 2023 sebagai usaha untuk membantu PMKS dalam pendidikan dan pengurusan kewangan dan kredit.

"Kerjasama strategik ini dilihat dapat membantu dan memudahkan PMKS membuat keputusan dalam menguruskan kewangan secara bijak dan berhemah, terutamanya dalam era pasca pandemik,” katanya. - Bernama