Santai Joran Kuala Lumpur tawar hadiah RM17,000

Muhammad Fauzi (depan) meninjau persiapan pertandingan memancing Santai Joran Kuala Lumpur di Taman Tasik Metropolitan, Kepong pada Ahad ini.
Muhammad Fauzi (depan) meninjau persiapan pertandingan memancing Santai Joran Kuala Lumpur di Taman Tasik Metropolitan, Kepong pada Ahad ini.
A
A
A

SERAMAI 500 peserta bakal berentap merebut hadiah keseluruhan bernilai RM17,000 dalam Santai Joran Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Metropolitan, Kepong pada Ahad ini.

Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan Landskap & Rekreasi, DBKL, Muhammad Fauzi Omar berkata, program memancing itu diharap dapat tingkatkan promosi pelancongan domestik di kawasan tasik di ibu kota selain merapatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat.

“Tasik ini menjadi sebutan kaki pancing apabila dalam pertandingan sebelum ini lebih 300 ekor ikan dinaikkan kaki pancing antaranya tilapia, patin, belida, toman, keli, ketutu serta ikan bandar raya dengan berat antara 100gram (g) hingga 10 kilogram (kg).

“Selepas setahun tiada pertandingan di sini, kini ia kembali dan tidak akan menghampakan pemancing di tasik ini dalam kalangan warga kota.

“Sedikit kelainan pada kali ini spesis keli menjadi buruan hadiah utama manakala spesis ikan yang lain menjadi hadiah khas,” katanya.

Beliau berkata, program itu menjadi peluang terbaik untuk memancing, selain peserta juga berpeluang beriadah serta menikmati keindahan kawasan tasik bersama keluarga.

“Matlamat kita dalam menggalakkan pelancongan domestik tercapai apabila melibatkan kehadiran pelancong dari luar ke ibu kota,” katanya.

Beliau berkata, juara pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, naib juara (RM1,000), ketiga (RM700), keempat hingga ke-10 (RM200), tempat ke-11 hingga 20 (RM100) dan tempat ke-21 hingga 100 (RM100).

Artikel Berkaitan:

“Hadiah khas untuk pemenang ikan lain turut disediakan sehingga tempat ketiga serta hadiah cabutan bertuah antaranya TV 32 inci serta barangan peralatan memancing menanti peserta,” katanya.

Yuran RM50 dikenakan untuk sebatang joran dan 300 penyertaan awal akan menerima kemeja-T sumbangan penaja.

Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu mulai jam 3 petang hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Menurut Muhammad Fauzi, Taman Tasik Metropolitan Kepong mempunyai keunikan tersendiri kerana pelbagai spesies ikan termasuk patin, tongsan, rhu, tilapia dan toman dengan berat antara lapan hingga 20kg menanti kaki pancing.

Beliau berkata, taman rekreasi terbesar di ibu negara dengan keluasan 90 hektar itu menyediakan pelbagai kemudahan riadah, tasik yang luas dan bersantai terutamanya bermain layang-layang.

“Memancing merupakan satu aktiviti yang mengurangkan tekanan dan dalam masa yang sama menimbulkan rasa keseronokan.

“Apa lagi penuhi cuti bersama keluarga dengan aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan,” katanya.

Acara memancing itu dianjurkan bersama bersama DBKL dan Nadi Media Events selain Team JoranKL bertindak sebagai pengurusan teknikal.

Untuk pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-266 1077, 013-305 2811 atau 012-284 6811 atau layari laman https://www.facebook.com/jorankl.