Sekolah agama antara yang terima ancaman bom di NS

Gambar tular menunjukkan murid-murid dan guru di sebuah sekolah di Seremban keluar selepas menerima ancaman bom.
Gambar tular menunjukkan murid-murid dan guru di sebuah sekolah di Seremban keluar selepas menerima ancaman bom.
A
A
A

SEREMBAN – Sekolah agama antara tiga sekolah yang dilaporkan menerima ancaman bom palsu di Negeri Sembilan.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Tinggi Islam As-Sofa di Rembau yang menerima ancaman itu pada Selasa manakala dua lagi sekolah yang tidak dinyatakan iaitu satu di Seremban dan satu di Port Dickson pada Rabu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan ada menerima tiga laporan mengenai ancaman bom palsu yang ditanam di tiga sekolah.

"Ancaman tersebut telah dihantar melalui dua akaun emel iaitu Maahadassofa08@gmail.com dan Taktstorer@Beeble.com

"Sejurus menerima laporan polis mengenai penerimaan emel ancaman bom tersebut, pasukan unit pemusnah bom Kontinjen Negeri Sembilan ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Gambar tular berkenaan ancaman bom palsu di sebuah sekolah di Seremban.
Gambar tular berkenaan ancaman bom palsu di sebuah sekolah di Seremban.

Menurut beliau, pihaknya dengan kerjasama bomba serta sekolah segera mengambil tindakan awal mengosongkan premis sementara siasatan dijalankan.

Jelasnya, hasil siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang bom dan emel tersebut merupakan satu berita palsu yang mahu mendatangkan kegusaran kepada pihak sekolah dan ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, pihak sekolah dan ibu bapa dinasihatkan untuk bertenang sekiranya menerima emel yang menyatakan ada ancaman bom di sekolah, sebaliknya buat laporan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan.

"Polis Negeri Sembilan memandang serius terhadap ancaman itu tindakan segera akan dilakukan bagi memastikan pelajar sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat," katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, ibu bapa tidak perlu risau soal keselamatan anak-anak mereka.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas kesalahan melakukan ancaman dan ugutan jenayah.

"Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan sebarang berita palsu kerana boleh mendatangkan kegusaran dan mengancam ketenteraman awam," katanya.