Dua lagi sekolah antarabangsa terima ancaman bom

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berucap pada Majlis Pelupusan Barang Kes dan Lelongan Kenderaan, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang Tahun 2023 di pekarangan Balai Polis Bandar Baru Bangi pada Rabu. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

A
A
A

BANGI - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua buah sekolah antarabangsa di daerah ini menerima ancaman bom sejak Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima aduan ancaman bom daripada sebuah sekolah antarabangsa sekitar jam 10 pagi, manakala satu lagi aduan pada awal pagi ini.

Beliau berkata, aduan yang diterima daripada sekolah antarabangsa pada pagi ini diperoleh setelah pihak pengurusan baru menyedari menerima email ancaman bom tersebut.

"Kami menerima satu lagi aduan ancaman bom pada awal pagi ini sekitar jam 8, setelah pihak sekolah itu membuka akaun email.

"Tindakan pantas telah diambil dengan menghantar unit pemusnah bom dan kumpulan anjing pengesan bahan letupan daripada Unit K9.

"Setelah security flushing atau tindakan pembersihan keselamatan dilakukan, kita dapati tiada sebarang bahan letupan atau bom di kawasan sekolah antarabangsa tersebut," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelupusan barang kes dan lelongan kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Balai Polis Bandar Baru Bangi, dekat sini.

Hadir sama Hakim Mahkamah Bandar Baru Bangi, Effandi Nazila Abdullah dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Nor Azizulkifli Mansor.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, semua tindakan yang diambil semasa tindakan pembersihan keselamatan dilakukan mengikut standard of prosedure (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan (kanan) menunjukkan barangan kes kepada Effandi Nazila (dua dari kiri) semasa majlis pelupusan barang kes dan lelongan kenderaan, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang Tahun 2023 di pekarangan Balai Polis Bandar Baru Bangi pada Rabu. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Jelas beliau, pihak sekolah diminta mengosongkan bangunan dan mengalih pelajar ke tempat yang selamat.

Tambahnya, selepas dibuat pemeriksaan, pihak polis tidak menemukan bom, bahan letupan atau benda yang mencurigakan.

Sehubungan itu katanya, polis telah menyerahkan sekolah kepada pihak pengurusan dan sesi sekolah berjalan seperti sedia kala.

Namun begitu menurutnya, satu kertas siasatan berhubung ancaman bom telah dibuka di daerah lain.

Sementara itu, mengulas mengenai pelupusan dilakukan, Mohd Zaid berkata, tindakan itu dibuat mengikut kaedah dan peraturan di bawah Perintah Tetap Ketua Polis Negara dan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 406A Kanun Prosedur Jenayah.

Kata beliau, pelupusan itu melibatkan barang kes jenayah komersial melibatkan mesin komputer, telefon bimbit dan kad ATM bagi tempoh bermula 2021 hingga 2023.

Selain itu menurut beliau, sesi lelongan melibatkan lapan buah motosikal dan sebuah kereta.

"Anggaran nilai keseluruhan pelupusan barang kes adalah sebanyak RM2.4 juta dan dilupuskan dengan cara musnah menerusi kaedah e-waste dan jualan sisa besi dan pepejal," ujarnya.