21 laporan ancaman bom palsu di sekolah KL, Selangor

Hussein, Allaudeen
Hussein, Allaudeen
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 21 laporan polis diterima berhubung ancaman bom palsu membabitkan sekolah swasta serta kerajaan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini, pihaknya menerima 15 laporan polis melibatkan 14 buah sekolah.

“Ada 15 laporan polis (diterima) melibatkan 14 buah sekolah sehingga pagi tadi.

"Bagaimanapun, sesi persekolahan berjalan seperti biasa, pihak polis beri jaminan keselamatan terhadap warga sekolah,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima enam laporan polis berkaitan kejadian itu.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, sebanyak 27 laporan polis berhubung kes berkenaan diterima di lapan buah negeri sehingga jam 9 malam.

Sebanyak lapan kes dilaporkan di Selangor, Johor dan Kuala Lumpur masing-masing enam kes, manakala dua kes masing-masing di Perak dan Pulau Pinang.

Kedah, Negeri Sembilan dan Sarawak pula masing-masing merekodkan satu kes.

Artikel Berkaitan:

Razarudin memaklumkan ancaman tersebut dihantar melalui dua akaun e-mel menggunakan nama ‘taktstorer’ dari bahasa Jerman yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dari penyedia perkhidmatan e-mel beeble.com.

Katanya, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai ancaman, polis dengan kerjasama sekolah-sekolah yang terlibat segera mengambil tindakan bagi mengosongkan premis-premis yang terlibat.

Oleh itu, tindakan pembersihan keselamatan (security flushing) bom dijalankan secara rapi oleh pihak polis di semua lokasi yang terlibat, namun, tiada sebarang ancaman yang dikesan.

Ujar beliau, siasatan menunjukkan kedua-dua alamat emel yang digunakan bagi menghantar ancaman baru dicipta dan tidak pernah digunakan di mana-mana servis internet.

Menurut Razarudin, kandungan e-mel yang sama dikesan pernah dihantar ke 70 buah sekolah di Jamaica pada 12 November lalu melalui penyedia perkhidmatan emel yang sama.

Pihaknya juga percaya suspek mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanak dan kurang perhatian, namun mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.