Terowong TRX dibuka 29 November ini

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembukaan terowong bawah tanah Tun Razak Exchange (TRX) sepanjang lima kilometer mulai 29 November ini dijangka mengurangkan trafik masuk ke pusat bandar sebanyak 30 peratus, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, terowong TRX yang mempunyai akses langsung kepada Jalan Tun Razak serta Terowong SMART akan membentuk satu pusingan dan memudahkan kenderaan keluar dan masuk dari kawasan pembangunan TRX.

"Dengan mengelakkan jalan raya yang sibuk, kenderaan yang menuju ke TRX tidak akan menambah kepada jumlah trafik sedia ada di jalan-jalan sekitarnya.

"Kenderaan yang masuk ke TRX melalui terowong pusingan ini akan terus ke tempat letak kenderaan di bawah bangunan dalam kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau infrastruktur jalan raya di sekitar TRX di sini pada Rabu.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib.

Terowong TRX yang dibina oleh Gadang Engineering (M) Bhd dan WCT Berhad, terdiri daripada dua aras dikhaskan untuk lalu lintas kenderaan dan satu aras bagi perkhidmatan utiliti.

Bagi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan TRX, Waze Beacon dipasang dalam terowong untuk menjamin navigasi tanpa gangguan di dalam kawasan tersebut.

Nanta berkata, rangkaian jalan raya terowong TRX akan turut menghubungkan kawasan TRX kepada 12 lebuh raya serta jalan utama seperti Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE).

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentunya ( kawasan TRX) akan memberi satu suntikan yang sangat penting bagi kita merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Pembukaan terowong TRX pada 29 November serentak dengan pembukaan pusat beli-belah The Exchange TRX dan Taman Bandar TRX seluas 4 hektar. - Bernama