Isteri mengidam perkara dilarang agama, suami haram penuhinya

WANITA hamil yang mengalami perubahan hormon dan beremosi hendaklah sedaya upaya mengawal keinginannya dan tidak terlalu mengikut nafsu semata-mata. -Gambar hiasan
WANITA hamil yang mengalami perubahan hormon dan beremosi hendaklah sedaya upaya mengawal keinginannya dan tidak terlalu mengikut nafsu semata-mata. -Gambar hiasan
A
A
A

ADAKALANYA wanita hamil mengidam itu dan ini. Andai perkara tersebut melibatkan makanan dan mudah dicari, suami pasti tidak keberatan untuk menunaikan kehendak si isteri tadi.

Namun, lain pula halnya jika ia melibatkan kemahuan yang kedengaran pelik atau melanggar syariat agama.

Dalam hal itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, suami bertanggungjawab menghalang dan haram memenuhi keinginan sebegitu.

“Misalnya isteri berkehendakkan sesuatu yang di luar kebiasaan dan ditegah oleh syarak serta tidak memberi sebarang kebaikan kepada isteri mahupun kandungannya seperti mengidam minum arak, makan daging khinzir, memegang badan lelaki ajnabi dan sebagainya.

“Oleh itu, isteri hamil yang mengalami perubahan hormon dan beremosi hendaklah sedaya upaya mengawal keinginannya dan tidak terlalu mengikut nafsu semata-mata.

“Di samping itu, suami perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi mengalihkan perhatian dan keinginan isteri dengan perkara-perkara diharuskan oleh syarak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Al-Fatwa Siri ke-807: Isteri Hamil Mengidam Perkara Pelik: Wajarkah Ditunaikan.

SUAMI diharuskan memenuhi permintaan dan keinginan pasangan lebih-lebih lagi saat isteri sedang mengandung selagi mana permintaan mereka dalam lingkungan yang diharuskan oleh syarak. -Gambar hiasan
SUAMI diharuskan memenuhi permintaan dan keinginan pasangan lebih-lebih lagi saat isteri sedang mengandung selagi mana permintaan mereka dalam lingkungan yang diharuskan oleh syarak. -Gambar hiasan

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memberi nasihat dan panduan jelas kepada para suami dalam melayani kehendak isteri yang mengidam ketika hamil iaitu:

1. Suami diharuskan memenuhi permintaan dan keinginan pasangan lebih-lebih lagi saat isteri sedang mengandung selagi mana permintaan mereka dalam lingkungan yang diharuskan oleh syarak. Ini kerana permintaan isteri ketika hamil juga merupakan sebahagian daripada nafkah isteri.

2. Menjadi kewajipan seorang lelaki mendidik pasangannya andai kelakuan isteri melebihi batas syarak atau keinginannya pada sesuatu yang diharamkan.

3. Kepada wanita hamil, banyakkanlah amalan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT agar dapat mengumpulkan kekuatan untuk menghadapi saat perit getir bersalin.

Mengertilah bahawa mengidam bukanlah sesuatu darurat yang boleh menghalalkan perkara yang haram.

"Oleh itu, suami sewajarnya menapis agar setiap kemahuan tersebut tidak menjatuhkan maruah suami serta apa-apa keinginan yang bercanggah dengan hukum syarak," titip pejabat mufti berkenaan.