Awas 7 tanda istidraj, jangan sampai terus jauh daripada ALLAH

JANGAN terlalu leka dibuat kemewahan dan kenikmatan dunia hingga jauh daripada ALLAH SWT. -Gambar hiasan
JANGAN terlalu leka dibuat kemewahan dan kenikmatan dunia hingga jauh daripada ALLAH SWT. -Gambar hiasan
A
A
A

SEGELINTIR orang dikurniakan kemewahan hidup, kejayaan melangit dan jawatan bukan calang-calang. Semua dilihat begitu gah pada mata manusia.

Namun di sebalik itu, kelompok tersebut masih leka dibuai kemewahan dunia dan enggan bersujud kepada YANG MAHA ESA.

Berhati-hatilah kerana itulah yang dinamakan istidraj. Mudah kata, ALLAH SWT memberikan nikmat dunia yang melimpah-ruah, tetapi diri tetap masih bergelumang maksiat.

Ketahuilah bahawa istidraj merupakan satu bentuk ‘hukuman’ ALLAH SWT kepada seseorang yang sering melakukan maksiat dan meremehkan ibadah, tetapi hidupnya masih dilimpahi kesenangan.

Bagaimana untuk mengetahui seseorang itu diuji dengan istidraj?

Berikut merupakan tujuh tanda istidraj sebagaimana dipetik menerusi laman web Kalam Sindonews:

GUNAKANLAH harta kekayaan mahupun kurniaan ALLAH SWT dengan sebaiknya dan lakukan suruhan-NYA sebagai tanda kita menzahirkan rasa syukur atas nikmat diberikan. -Gambar hiasan
GUNAKANLAH harta kekayaan mahupun kurniaan ALLAH SWT dengan sebaiknya dan lakukan suruhan-NYA sebagai tanda kita menzahirkan rasa syukur atas nikmat diberikan. -Gambar hiasan

Artikel Berkaitan:

1. Hidup bergelumang maksiat, tetapi badan tetap sihat dan jarang sakit.

2. Dikurniakan wang melimpah-ruah walaupun enggan melaksanakan ibadah.

3. Di mana sahaja dia berada, dirinya begitu mudah untuk mencari sebab melakukan dosa. Ia seolah-olah peluang untuk melakukan maksiat terbuka luas untuknya.

4. Sentiasa bersedia untuk membelanjakan wang untuk tujuan berselang-lenang dan berfoya-foya, tetapi begitu kedekut untuk membantu orang yang susah.

5. Boleh kekal tenang dan tidak bimbang atas kejahatan yang dilakukan.

6. Dirinya bertambah bangga apabila hartanya meningkat, kedudukan dan kesenangan duniawi juga melangit.

7. Mengagumi pakar-pakar di dunia dan memuliakan mereka, tetapi memandang rendah golongan ulama serta orang soleh.

Ingatlah, meskipun segalanya kelihatan indah pada mara kita, usah terlalu leka dibuai dengan nikmat dunia yang melalaikan.

Bukan apa, bimbang andai semua itu rupanya ‘simptom’ kita dijerumuskan ALLAH SWT ke lembah kehancuran. Justeru berhati-hatilah.

KURNIAAN ALLAH lazimnya diisi dengan ketakwaan, kebaikan dan ketaatan sama ada sebelum atau selepasnya, jauh sekali berbeza dengan istidraj. -Gambar hiasan
KURNIAAN ALLAH lazimnya diisi dengan ketakwaan, kebaikan dan ketaatan sama ada sebelum atau selepasnya, jauh sekali berbeza dengan istidraj. -Gambar hiasan

Untuk membezakan antara istidraj dan kurniaan ALLAH, Sinar Islam merujuk artikel yang pernah dikongsikan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Jelas pejabat mufti itu, kurniaan ALLAH lazimnya diisi dengan ketakwaan, kebaikan dan ketaatan sama ada sebelum atau selepasnya.

“Misalnya, seseorang yang rajin melakukan solat malam, bersedekah, menunaikan solat duha dan sebagainya, kemudian ALLAH SWT melimpah-ruahkan rezekinya. Maka itu kita namakan sebagai kurniaan atau karamah.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak mengerjakan solat lima waktu, berterusan melakukan maksiat dan derhaka kepada-NYA, tetapi dirinya kelihatan kaya dan rezekinya juga mudah, maka itulah yang dinamakan istidraj,” katanya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian mengemukakan kalamullah sebagai renungan kita bersama.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada ALLAH dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Surah Ali Imran, ayat 102)