'PRK tak berlaku jika PN bersama Kerajaan Perpaduan' - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan ketika berucap pada Ceramah Isu Semasa di Dewan Sivik Felda Cherol pada malam Isnin.
Ahmad Maslan ketika berucap pada Ceramah Isu Semasa di Dewan Sivik Felda Cherol pada malam Isnin.
A
A
A

KEMAMAN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman tidak akan berlaku sekiranya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi sebahagian dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut mendakwa keengganan Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan bukan disebabkan DAP sebaliknya pemimpin tertinggi gabungan berkenaan berebut untuk menjadi Perdana Menteri.

"Ada 18 parti dalam Kerajaan Perpaduan dan DAP salah satu daripadanya. Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta BN mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan dan kami (BN) junjung titah Tuanku.

"Pas tak setuju Kerajaan Perpaduan, panggil Bersatu pun sama tak setuju. Kalau Pas dan Bersatu setuju untuk bersama (Kerajaan Perpaduan), maka tak ada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

"Disebabkan mereka ingkar titah Tuanku, itulah yang berlaku PRK sebelum ini sebab mereka tak mahu bersama Kerajaan Perpaduan," katanya ketika berucap pada Ceramah Isu Semasa di Dewan Sivik Felda Cherol, di sini pada malam Isnin.

Ahmad Maslan beramah mesra dengan penduduk semasa Ceramah Isu Semasa di Dewan Sivik Felda Cherol, Kemaman.
Ahmad Maslan beramah mesra dengan penduduk semasa Ceramah Isu Semasa di Dewan Sivik Felda Cherol, Kemaman.

Mengulas lanjut, Ahmad mendakwa DAP bukan punca utama menyebabkan Pas dan Bersatu tidak menyertai Kerajaan Perpaduan.

"Mereka tak bersama dengan Kerajaan Perpaduan bukan kerana DAP. Pas lama bersama (jalin kerjasama) dengan DAP malah Bersatu juga pernah bekerjasama dengan DAP untuk kalahkan UMNO dan BN.

Artikel Berkaitan:

"Mereka tak nak Kerajaan Perpaduan sebab tak dapat jadi Perdana Menteri. Mereka (PN) hanya ada 74 kerusi manakala Pakatan Harapan ada 82 kerusi maka Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat jadi Perdana Menteri," ulasnya.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Ahmad Maslan meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk.
Ahmad Maslan meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.