Ketandusan isu punca BN 'serang' Ahmad Samsuri - Razali

Datuk Razali Idris
Datuk Razali Idris
A
A
A

KEMAMAN - Kem Barisan Nasional (BN) dilihat ketandusan isu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sehingga bertindak 'menyerang' calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, sehingga kini hanya dua isu yang dimainkan iaitu Menteri Besar Terengganu itu bukan anak tempatan dan tamak kerana mahukan dua jawatan.

Menurutnya, isu itu sengaja dibuat kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu bersih daripada kontroversi dan mempunyai prestasi yang baik.

"Saya nak beritahu, Menteri Besar yang jadi ahli Parlimen dalam Pakatan Harapan setakat ini ada tiga iaitu Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari-PKR), Negeri Sembilan (Datuk Seri Aminuddin Harun-PKR) dan Ketua Menteri Pulau Pinang daripada DAP.

"Kenapa bila Pas baru nak bertanding dikatakan tamak? Disuruh letak jawatan? Sebenarnya mereka takut kalah kerana ingatkan orang lain yang bertanding.

"Tapi bila diumumkan Menteri Besar Terengganu bertanding, dia jadi jeng (buntu). Akhirnya mereka buat isu macam-macam," katanya semasa berucap dalam Ceramah Perdana di Unit Daerah Mengundi (UDM) Meraga Beris, Kijal malam tadi.

Razali yang juga ADUN Kijal menyatakan, adalah tidak cerdik apabila memainkan sentimen bukan orang tempatan kerana calon BN sendiri iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor juga dilahirkan di Besut.

Justeru jelasnya, isu bukan anak tempatan tidak seharusnya dimainkan.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya, tiada isu pun. Apa yang kita harapkan ialah ahli Parlimen yang betul-betul ada karakter dan idea, bukan penipu serta boleh bawa isu rakyat ke Parlimen," ujar beliau.

Sementara itu, Razali turut mengharapkan sokongan yang berterusan daripada anak muda.

Jelasnya, lebih 80 peratus pengundi muda menyokong Pas dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

"Kali ini pun, kita harap benda yang sama dan jangan tunduk kepada desakan serta 'ugutan' yang digemburkan oleh UMNO dan BN," katanya.