Hujan berterusan tahap buruk di Kelantan, Terengganu

Pasukan penyelamat melakukan pemantauan di kawasan perumahan yang dinaiki air ketika tinjauan di Taman Murni Permai, Tok Jembal. - Foto Bernama
Pasukan penyelamat melakukan pemantauan di kawasan perumahan yang dinaiki air ketika tinjauan di Taman Murni Permai, Tok Jembal. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Kelantan dan Terengganu sehingga Jumaat ini.

Menurut MetMalaysia, cuaca itu dijangka melanda beberapa kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh termasuk Terengganu.

Amaran hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh enam jam.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada sehingga Khamis yang dijangka berlaku di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Di Kedah melibatkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu termasuk Pulau Pinang.

Di Perak, Kerian, Kuala Kangsar, Manjung, Larut Matang dan Selama serta Hulu Perak.

Situasi sama juga diramal berlaku di Kelantan (Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang) manakala Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan) sehingga Jumaat.

Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.

Artikel Berkaitan: