Kelantan boleh gubal 18 peraturan Enakmen Syariah - Peguam PPMM

Istana Kehakiman, Putrajaya.
Istana Kehakiman, Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA – Seorang peguam pemerhati berhujah di Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin bahawa, Badan Perundangan Negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubal 18 peruntukan yang dipertikaikan dua pihak, berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menghujahkan demikian ketika prosiding pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, dalam usaha mengisytiharkan peruntukan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Haniff Khatri Abdulla. FOTO: ROSLI TALIB
Haniff Khatri Abdulla. FOTO: ROSLI TALIB

Mohamed Haniff Khatri yang mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berkata, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman tidak boleh mencabar peruntukan yang tertakluk di bawah 27 senarai undang-undang Persekutuan.

Beliau berkata, Nik Elin Zurina, 62 dan Tengku Yasmin Natasha, 26, selaku pempetisyen, gagal membuktikan bahawa penggubalan 18 peruntukan itu adalah tidak selari dengan undang-undang syariah dan kekeluargaan Islam yang mewajarkan ia dibatalkan oleh mahkamah.

“Sebelum ini, pempetisyen menghujahkan bahawa, Parlimen Persekutuan mungkin mempunyai kuasa tidak terhad untuk meluluskan undang-undang jenayah, termasuk dan tidak terhad kepada mewujudkan kesalahan berhubung mana-mana perkara dalam Senarai Persekutuan atau yang ditangani oleh undang-undang persekutuan.

“Oleh itu, perkara sama boleh dinyatakan mengenai kuasa DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk menggubal undang-undang Islam,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana Butiran 1 Senarai II Jadual Kesembilan perlembagaan persekutuan mempunyai perkataan yang sama dalam memberikan kuasa kepada negeri (membabitkan undang-undang Islam).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika mana-mana peruntukan jenayah syariah yang digubal itu bertindan dengan undang-undang jenayah Persekutuan sivil gubalan Parlimen, ia masih sah.

Katanya, ini disebabkan ‘inti dan pati’ atau ‘pith and substance’ undang-undang gubalan negeri berkaitan undang-undang negeri, menjadikannya sah.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berhujah, Perkara 4 Senarai Persekutuan membenarkan peraturan diluluskan maka undang-undang jenayah Persekutuan tidak boleh diperluaskan kepada aturan Islam dalam bidang kuasa yang diberikan kepada Kerajaan Negeri di bawah Senarai Negeri.

Beliau yang mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, bagi contoh kesalahan berkaitan sihir, kesalahan itu mungkin bukan bidang kuasa parlimen untuk menggubal undang-undang.

Beliau yang juga sahabat mahkamah atau Amicus Curiae berhujah, hanya mahkamah syariah boleh menentukan perkara yang dianggap tindakan sihir dalam Islam.

Dalam kes berkenaan, dua pempetisyen ini memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 18 Seksyen itu terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.

Dalam prosiding ini, pihak Sisters In Islam (SIS) dan MAIWP hadir selaku sahabat mahkamah.

Peguam pemerhati pula dibarisi peguam-peguam bagi pihak Badan Peguam Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Agama Islan Negeri Sembilan (MAINS) dan PPMM.