Petisyen cabar Enakmen Syariah: Mahkamah tegur peguam ulas putar belit di X

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, menegur seorang peguam, yang membuat kenyataan bersifat putar belit mengenai prosiding petisyen untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, di platform X, baru-baru ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, kenyataan yang menyentuh sentimen tidak sepatutnya dibincangkan dalam khalayak umum kerana prosiding itu masih di peringkat pendengaran.

Tengku Mainum berkata, ulasan peguam, Yusfarizal Yusoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) selaku peguam pemerhati, ialah sangat tidak wajar.

“Tanggapan itu tidak benar kerana pendengaran hari ini hanya bertujuan mencabar enakmen itu, bukan merendah-rendahkan enakmen dan mahkamah syariah.

“Orang ramai bercakap mengenai kes ini, apatah lagi versi yang mengelirukan, isunya di sini bukan memburukkan Islam atau mahkamah syariah sebaliknya, kecekapan enakmen undang-undang Syariah, jadi kita perlu memahami latar belakang kes," katanya.

Beliau berkata, kenyataan bahawa mahkamah syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak benar.

Katanya, peguam juga gagal mendedahkan fakta bahawa pempetisyen sebenarnya menimbangkan dua daripada 20 peruntukan sebenarnya dalam bidang kuasa negeri Kelantan untuk digubal, membawa makna ia di bawah mahkamah syariah.

Susulan itu, beliau mengingatkan semua pihak, supaya menjaga kedaulatan undang-undang dan mengelak daripada menaikkan sentimen politik menyentuh perlembagaan Undang-undang Syariah Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Hakim Negara menyatakan demikian selepas peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kedua-dua pempetisyen membangkitkan isu berhubung kenyataan Yusfarizal yang menyentuh pendengaran petisyen itu.

Pada September lalu, media melaporkan, seorang peguam kanan mengungkapkan, tuntutan kes yang difailkan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya (pempetisyen) terhadap kerajaan Kelantan adalah noktah penghujung sebelum ‘batu nisan’ diletakkan ke atas mahkamah syariah di negara ini.

Tengku Maimun kemudiannya mengarahkan prosiding pendengaran bersambung dengan pihak Sisters In Islam (SIS); Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku sahabat mahkamah atau Amicus Curiae, memulakan hujahan petisyen itu.

Sebelum ini, Nik Elin Zurina, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, 26, memfailkan petisyen terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

18 peruntukan yang dipertikaikan itu ialah:

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Bahagian 39: Mengurangkan timbangan, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan 'hukum syarak' (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (ibu/ bapa ayam atau perantara pelacuran)

Petisyen ini didengar pa¬nel sembilan hakim diketuai Tun Tengku Maimun dalam prosiding yang bermula 17 Ogos lalu.

Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Selain itu ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Dalam kes berkenaan, Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 18 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.