Himpunan Selamatkan Syariah: PN sedia beri sokongan penuh

Tuan Ibrahim - Foto Bernama
Tuan Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan digesa menggubal dan meminda Perlembagaan Negara bagi memastikan seluruh sistem dan enakmen di Mahkamah Syariah tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, menjadi tanggungjawab umat Islam tanpa mengira kedudukan atau fahaman politik untuk tampil mempertahankan, menegakkan dan melaksanakan seluruh perundangan Islam.

Ujar beliau, seluruh ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berjanji sedia menyokong penuh bagi mencukupkan sokongan dalam Dewan Rakyat.

“Munajat kita tadi kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kita.

"Jangan ada pihak yang cuba mengganggu-gugat ketenteraman negara kita.

“Apa yang sedang berlaku hari ini usaha sedikit demi sedikit oleh golongan yang tidak puas hati berusaha untuk menggugat kestabilan, mengganggu gugat perundangan Islam.

“Islam merupakan agama dilaksanakan dalam negara Persekutuan sebelum adanya undang-undang Inggeris.

"Maka kerana itu kita perlu mengembalikan kedudukan Islam sebagai agama dan sebagai hukuman,” katanya ketika berucap di Himpunan Selamatkan Syariah pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, isu melibatkan kedaulatan Islam, kestabilan dan keamanan negara adalah antara paksi yang mesti didukung oleh semua pihak.

Tegas beliau, himpunan tersebut bukan yang pertama diadakan sekiranya ancaman terhadap perundangan Islam masih berterusan.

Ulasnya, semua pimpinan Pas juga sedia menawan Putrajaya sekiranya kerajaan gagal mempertahankan kedaulatan hukum Islam.

“Jutaan ummah akan berhimpun nanti insya-ALLAH.

"Yang kedua, kita beri peringatan (bahawa) menjadi tanggungjawab sebagai umat Islam tanpa mengira parti-parti politik tanpa mengira kedudukan, tanpa mengira siapa kita.

“Kerana ia merupakan sebahagian penting asas perundangan Islam berada di bawah persoalan akidah yang tidak boleh terpisah satu sama lain,” menurutnya.

Sementara itu, ulas Tuan Ibrahim, pihaknya membantah petisyen mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 selepas tidak menjadi kerajaan kerana ia kini ‘sudah jelas’ dan telah dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman memfailkan petisyan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Natasha, 26, memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 18 Seksyen Kesalahan Jenayah Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.