Peguam cadang kerajaan pinda gubal kuasa negeri, Persekutuan

(Gambar kecil: Haniff Khatri) Pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya dipenuhi dengan peserta Himpunan Selamatkan Syariah pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
(Gambar kecil: Haniff Khatri) Pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya dipenuhi dengan peserta Himpunan Selamatkan Syariah pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Persatuan Peguam - Peguam Muslim Malaysia (PPMM) sebulat suara mencadangkan agar kerajaan membuat pindaan terhadap gubalan kuasa negeri dan Persekutuan.

Peguam pemerhati PPMM bagi petisyen difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan, Haniff Khatri Abdulla berkata, tindakan itu perlu dilakukan agar tiada kelompongan atau ketidakjelasan mengenai kuasa negeri dan Persekutuan.

"Walau apa pun keputusan mahkamah, ia wajar dihormati," katanya kepada pemberita selepas selesai prosiding di Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin.

Haniff Khatri ketika bercakap kepada pemberita selepas selesai prosiding di Mahkamah Persekutuan pada Isnin. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Haniff Khatri ketika bercakap kepada pemberita selepas selesai prosiding di Mahkamah Persekutuan pada Isnin. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB



Ujar beliau, mahkamah hanya berkuasa memberi keputusan berpandukan kepada peruntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ia tidak boleh menulis semula Perlembagaan jika Perlembagaan mengatakan A, maka A.

"Tetapi jika kita berpandangan Perlembagaan wajar mengatakan J atau K, maka kita buat pindaan lah," katanya.

Haniff berkata, kerajaan telah melakukan pelbagai pindaan sebelum ini dan perkara sama perlu dilakukan terhadap gubalan kuasa negeri dan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Bukankah kita pernah pinda undi 18? Bukankah kita pernah pinda mengatakan Sabah Sarawak kuasa autonomi?

"Bukankah sebelum PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) kita pinda Undang-undang anti lompat parti yang tidak jelas? Jadi pindaan boleh dibuat," katanya.

Yusfarizal Yusoff
Yusfarizal Yusoff

Sementara itu, Peguam Pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Yusfarizal Yusoff berkata, kegusaran dan kembimbangan masyarakat tidak boleh dipandang enteng.

Menurutnya, apa yang dihujahkan peguam hujahkan adalah professional dan mengikut laras undang-undang.

"Saya percaya semua peguam tidak pernah mengusulkan atau mengapi-apikan masyarakat agar melakukan huru hara," katanya.

Datuk Dr Mohamed Fadzlu Hassan (dua dari kiri).
Datuk Dr Mohamed Fadzlu Hassan (dua dari kiri).

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzlu Hassan berkata, kerajaan negeri akan menerima apa sahaja keputusan yang diputuskan mahkamah kelak.

"Jutaan terima kasih kepada semua peguam dan Majlis Agama Islam yang terlibat serta penyokong yang hadir hari ini," katanya.

Terdahulu, Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan mendengar hujahan pihak-pihak yang dinamakan sebagai sahabat mahkamah atau Amicus Curiae, dalam prosiding yang bermula 17 Ogos lalu.

Mereka ialah Sisters In Islam (SIS); Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 18 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.