Pendaftaran SIMP masih terbuka kepada nelayan kawasan PSI

Azrul Mahathir (tengah) bergambar bersama komuniti nelayan yang hadir pada sesi taklimat pada Rabu lalu SIMP.
Azrul Mahathir (tengah) bergambar bersama komuniti nelayan yang hadir pada sesi taklimat pada Rabu lalu SIMP.
A
A
A

GEORGETOWN - Nelayan Pulau Pinang Selatan yang masih belum membuat pendaftaran skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) di bawah projek tambakan Penang South Island (PSI) digesa mendaftar dengan segera untuk membolehkan pemprosesan pembayaran bantuan kewangan (ex-gratia).

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, nelayan dari sembilan unit nelayan di Pulau Pinang Selatan masih boleh membuat pendaftaran di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN).

“Kami menyeru agar mereka mendaftar secepat mungkin kerana pembayaran ex-gratia sudah bermula sejak Jumaat bagi mereka yang sudah mendaftar awal-awal lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Pembayaran 75 peratus dari jumlah penuh ex-gratia telah bermula semalam susulan pengumuman Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) PSI telah diluluskan pada 21 Julai lalu.

Kebenaran merancang untuk kerja tambakan juga diluluskan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang pada 22 Ogos 2023.

Kelulusan berkenaan bermakna kerja penambakan PSI untuk membina Silicon Island dibenarkan bermula.

Berikutan itu, Farizan berkata, sepatutnya tidak ada lagi halangan untuk nelayan membuat pendaftaran SIMP memandangkan penambakan sudah bermula.

“Pada masa ini, kerajaan negeri sedang menunaikan janji kepada nelayan. Maka, nelayan harus lebih yakin dan terdorong untuk mendaftar.

Artikel Berkaitan:

"Nelayan berhak untuk menikmati manfaat SIMP,” katanya.

Farizan berkata, seramai 358 tekong dan awak-awak yang telah membuat pendaftaran awal akan menerima 75 peratus jumlah ex-gratia yang telah dijanjikan mulai Jumaat lepas melalui pemindahan dana elektronik.

Katanya, kerajaan negeri telah mula membuat pembayaran melalui Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya sejak semalam kepada nelayan yang sudah disahkan status oleh Jabatan Perikanan.

“Daripada 358 nelayan ini, pembayaran akan diproses terlebih dahulu untuk kumpulan penerima pertama seramai 185 orang yang telah selesai mengemukakan dokumen sokongan kepada PPSN.

“Pembayaran adalah tertakluk kepada semakan dan pengesahan Jabatan Perikanan dan bank yang digunakan oleh nelayan,” katanya.

Bagi kumpulan penerima yang kedua seramai 173 orang pula, mereka masih perlu mengemas kini dokumen sokongan yang diperlukan di PPSN untuk pembayaran yang dijadualkan pada hujung bulan ini atau Oktober depan.

Pada Rabu lalu, Farizan telah bertemu dengan nelayan kawasan Tahap 1 dan 2 projek PSI di satu sesi taklimat untuk menerangkan pembayaran ex-gratia, manfaat SIMP yang lain dan pelaksanaan kerja penambakan.

Jelasnya, tekong dari unit Tahap 1 juga layak menerima bantuan bot dan enjin dengan keutamaan diberikan kepada unit Permatang Tepi Laut yang berhadapan terus dengan Silicon Island.

"Unit nelayan yang terletak di kawasan Tahap 1 ialah unit Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul yang paling dekat dengan lokasi Silicon Island.

"Manakala, unit nelayan Sri Jerjak, Batu Maung, Telok Tempoyak, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burung terletak di kawasan Tahap 2," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan bahawa pembayaran ex-gratia hanya akan bermula setelah kelulusan EMP diperoleh.

Farizan berkata, pembayaran jumlah yang selebihnya (25 peratus) dijangka bermula pada Januari tahun depan.

Katanya, pembayaran ex-gratia tersebut umpama hadiah sambutan bulan kemerdekaan yang menunjukkan penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan komuniti nelayan kepada ekonomi negeri.

“Kami berharap nelayan akan menggunakan wang itu untuk kebaikan keluarga dan masa depan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Azrul Mahathir Aziz yang turut hadir di sesi taklimat pada Rabu lalu berkata, skim SIMP yang telah dilaksanakan secara berfasa sejak diumumkan pada 2021, cukup menyeluruh dan bersifat jangka masa panjang.

“Skim ini tidak hanya menyediakan bantuan kewangan atau ex-gratia tetapi juga menawarkan bantuan bot dan enjin, jeti baharu, program latihan kemahiran dan program sokongan pendidikan untuk anak nelayan yang masih bersekolah,” katanya.

Setakat ini, 20 nelayan telah selesai mengikuti kursus dan lulus ujian jurumudi untuk mendapat sijil.

Seramai 32 nelayan juga telah menerima bot yang lebih besar dan enjin yang lebih berkuasa tinggi serta peralatan seperti sonar, robot dan GPS.

Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan juga ditubuhkan untuk memberi manfaat dan pulangan kepada ahli-ahlinya terutamanya nelayan.