PSI: Pulau Pinang perlu tunggu keputusan Lembaga Rayuan

Ravinder
Ravinder
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang sepatutnya menunggu keputusan rayuan oleh nelayan untuk menyemak semula keputusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum memulakan kerja bagi Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

Naib Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) Pulau Pinang, Ravinder Singh berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sudah mengetahui mengenai tindakan nelayan di selatan Pulau Pinang itu namun masih meneruskan lagi kerja awalan di tapak tambakan tersebut.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri itu amat mengecewakan kerana disifatkan sebagai tidak menghiraukan kepentingan dan suara rakyat yang terlibat.

"Rayuan oleh nelayan telah dikemukakan di Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 11 April lalu dan sehingga kini, belum ada keputusan. Persoalannya kenapa kerajaan negeri masih meneruskan kerja awalan di tapak sedangkan keputusan rayuan belum dibuat?

"Mengikut undang-undang, kerja-kerja di tapak tidak boleh dijalankan selagi keputusan rayuan tidak diperolehi. Ia merupakan satu tindakan yang menghina mahkamah," katanya pada sidang akhbar di Persiaran Gurney di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek Pulau Silikon telah memperoleh kelulusan rasmi daripada JAS Pulau Pinang pada 21 Julai lalu.

Kelulusan itu adalah susulan daripada kelulusan Laporan EIA bagi Projek PSI yang telah diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh JAS pusat melalui surat bertarikh 11 April 2023.

Dengan kelulusan daripada agensi-agensi terlibat, kerja-kerja persediaan awalan tambakan bagi projek akan dimulakan pada 1 September lalu dan diteruskan sehingga kerja-kerja berkaitan disiapkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ravinder berkata, Kerajaan Pulau Pinang yang mengamalkan pentadbiran CAT (cekap, akauntabiliti dan telus) sepatutnya menghormati tindakan nelayan itu kerana mereka mempunyai hak untuk memohon agar kelulusan EIA disemak semula.

"Dengan memulakan kerja di tapak, ia akan mengganggu proses rayuan tersebut. Apa yang lebih membimbangkan, jika keputusan mahkamah berpihak kepada nelayan, bagaimana dengan kerja yang telah dijalankan di tapak?

"Adakah kerja-kerja itu akan dialihkan, dan adakah laut yang telah musnah boleh diselamatkan semula?

"Kerajaan negeri tidak boleh hanya berpihak dan mementingkan pemaju Projek PSI sahaja berbanding suara nelayan serta rakyat yang menolak projek tersebut," katanya.

Sebelum ini, JAS pusat telah meluluskan Laporan EIA bagi Projek PSI dengan berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Mei lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dalam PSI seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Selain Pulau B, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.

Pengurangan keluasan itu melibatkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada satu buah pulau sahaja.

Pulau C yang berkeluasan 323.7 hektar turut dibatalkan.