Pesuruhjaya Sukan bidas FAM, BAM

Suhardi
Suhardi
A
A
A

PESURUHJAYA Sukan, Suhardi Alias tampil mempertahankan dirinya dan enggan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya beliau membuat permohonan maaf.

Malah, beliau bertindak membidas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Mengenai cadangan Datuk Hamidin untuk memohon maaf, ramai warga sukan berpendapat wajar kepimpinan badan induk sukan bola sepak kebangsaan itu, memohon maaf kepada ahlinya, MOM dan rakyat Malaysia.

“(Ini) kerana gagal mencapai sasaran pingat emas yang dijanjikan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja dan juga defisit kewangan yang dikatakan mencapai RM7 juta dalam laporan kewangan badan itu.

“Ini melibatkan soal tata kelola kewangan yang baik, integriti dan akauntabiliti yang merupakan asas tadbir urus yang baik dalam sukan,” kata Suhardi dalam satu kenyataan.

Suhardi turut menggesa FAM dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memperbaiki reputasi badan induk masing-masing yang gagal mencapai sasaran pada Sukan SEA 2023.

“Mereka sepatutnya memperbaiki tadbir urus persatuan mereka dan mengelak daripada menyalahkan atlet serta jurulatih di sebalik kegagalan.

“Sukan di Malaysia tidak akan maju jika badan sukan dipimpin oleh orang tidak kompeten, tiada tata kelola yang baik, tidak memikirkan kebajikan atlet serta jurulatih, sombong dan angkuh.

Artikel Berkaitan:

“Memandangkan perkara ini akan menjadi siasatan pihak berkuasa, saya harap semua pihak tidak lagi buat kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan polis dan mengeruhkan keadaan,” ujarnya.

Terdahulu, Suhardi dilapor mengugut untuk membatalkan pendaftaran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sehingga menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin persatuan sukan kebangsaan.

Situasi bertambah 'panas' apabila Presiden MOM yang juga Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria membidas kenyataan berbaur ugutan tersebut.

Pada masa sama, Norza mengarahkan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Mohd Najib untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam mengemukakan bantahan terhadap tingkah laku terbabit jika ia benar berlaku.

Kenyataan Norza itu berdasarkan satu klip audio berdurasi 1 minit 20 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp memetik Suhardi mengugut membatalkan pendaftaran MOM sambil menyamakan badan sukan negara itu dengan kerajaan Israel dalam konflik di Gaza, sekali gus mencemari reputasi MOM.

Rakaman perbualan itu didakwa dibuat ketika perjumpaan antara Suhardi bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bertujuan mencari jalan pendamaian pada 14 November lalu.